Pas guna logo PN di Kedah - Utusan Malaysia

Pas guna logo PN di Kedah

ANTARA penyokong yang hadir ke Himpunan Jentera PN Kedah di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar, malam tadi. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pas Kedah sepakat untuk menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berbanding lambang ‘bulan’ yang amat sinonim dengan mereka.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahya berkata, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan Pas memilih lambang PN di Kedah iaitu isyarat meraikan kepelbagaian kaum dalam gabungan itu dan mengenang jasa PN ketika pembentukan kerajaan negeri pada 2020.

“Orang Pas mungkin persoalkan mengapa pilih PN sedangkan dalam PRU lalu, 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta tiga kerusi Parlimen dikuasai Pas. Ada yang kata tak selesa dengan warna ‘biru’ hingga menyebabkan badan gatal-gatal.  

“Hakikatnya kita memilih logo PN sebagai isyarat meraikan kepelbagaian kaum di Kedah. Di depan saya ini ada Melayu, Cina serta India yang akan beri sokongan kepada PN dan disebabkan itulah kita pilih logo PN,” katanya ketika berucap pada Himpunan Jentera PN Kedah di Kompleks Pas Kedah, malam tadi.

Ketika Muktamar Tahunan Pas ke-68 pada September lalu, Pas Kedah antara negeri yang memohon untuk mengekalkan lambang ‘bulan’ pada PRU15 selain Kelantan, Terengganu dan beberapa negeri lain.

Selain itu, Ahmad yang juga Ketua Dewan Ulama Pas Pusat berkata, semua ahli juga perlu sedar bahawa dengan bantuan PN yang membolehkan pembentukan Kerajaan Kedah diketuai Pas menjadi realiti pada Mei 2020 yang mengambil alih daripada Pakatan Harapan (PH).

“Kita hanya ada 15 kerusi (DUN) tak boleh buat apa (bentuk kerajaan sendiri), UMNO ada dua baru jadi 17 kerusi masih tak boleh. Datang sahabat-sahabat kita dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) barulah boleh bentuk Kerajaan PN Kedah.

Tambahnya, atas dasar itu tidak mungkin Pas akan mengkhianati Bersatu ketika parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu sanggup meninggalkan PH walaupun digelar pengkhianat demi kepentingan agama, bangsa dan tanah air.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan Pas tidak dapat bersama dengan UMNO kerana parti itu meletakkan syarat kepada mereka untuk mengisytiharkan putus hubungan bersama Bersatu jika mahu berunding mengenai kerjasama.

“Mana mungkin Pas nak khianati Bersatu ketika mereka sanggup tinggalkan PH untuk bersama Pas dan Gerakan hingga Muhyiddin sendiri menyebut bahawa beliau digelar pengkhianat. Biar dituduh pengkhianat oleh PH, asalkan tidak khianat kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.

Beliau dalam pada itu mengingatkan rakyat di negeri ini agar tidak lagi menjadikan Kedah sebagai negeri yang banyak menyumbang kerusi kepada PH untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

“22 bulan di bawah pemerintahan PH, teras utama kita digugat. Ada saja perkara membimbangkan dilakukan hingga jutaan rakyat turun ke Kuala Lumpur bagi membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

“Semua itu isyarat dan pengajaran yang perlu diambil bahawa cukuplah 22 bulan di bawah PH. Jangan diulangi lagi dengan membenarkan PH kuasai dan tadbir negara,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya