ARAU: Barisan Nasional (BN) boleh kehilangan kerusi Parlimen Arau dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya pucuk pimpinan mengetengahkan calon payung terjun di kawasan berkenaan.
Penyandang kerusi tersebut, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, mereka pernah mempunyai pengalaman apabila hanya memperoleh kemenangan tipis setelah meletakkan calon payung terjun bertanding di kawasan-kawasan bawah Parlimen Arau.
Katanya, pemilihan calon yang diletakkan untuk bertanding mewakili BN di kawasan itu pada PRU15 ini seharusnya calon boleh menang.
“Kita (BN) tiada pilihan, sama ada kita suka atau tidak, calon yang diletakkan itu mesti seorang yang boleh menang.
“Dan pastinya kita akan berdepan masalah setelah calon yang digembar-gemburkan dan sudah bersama rakyat terpaksa dinafikan apabila tiba-tiba ada calon lain pula yang diperkenalkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perjumpaan Bersama Jentera BN di Dewan Sivik di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Shahidan yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau berkata, dalam tempoh 10 hari, pihaknya telah mengatur pertemuan dengan hampir 15,000 jentera parti di Bahagian Arau bagi memastikan kesiap-siagaan parti menjelang PRU15.
“Momentum sekarang kalau dilihat sekiranya kita menghadapi pertembungan dua atau tiga penjuru, BN masih mampu untuk menang dan meraih sokongan rakyat, tiada masalah,” katanya.
Dalam pada itu, Shahidan berkata, perkara paling penting perlu dilaksanakan parti buat masa ini adalah bagi melakukan sentuhan rakyat dengan bertemu mereka bagi memberi penerangan sewajarnya.
Tambahnya, rakyat khususnya di kawasan kampung ingin mendengar sendiri tentang perancangan kerajaan bagi membantu membela nasib mereka selepas ini.
“Rakyat mahu dengar sendiri penjelasan dan mereka tak mahu dengar atau baca menerusi aplikasi Whatsapp atau laman sosial yang kadang-kadang (faktanya) tidak betul,” katanya. –UTUSAN