PETALING JAYA: Tiada isu anak kedua bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Omar tidak dicalonkan Parti Amanah Negara (Amanah) Perak di Parlimen dan Dewan Udangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil berkata, ini kerana anak bekas Mursyidul Am Pas itu bertanding di atas tiket PH mewakili kuota PKR.
“Dalam PH memang ada parti yang berbeza, tetapi yang diumumkan adalah kerusi calon-calon yang parti masing-masing uruskan di negeri tersebut.
“Jadi untuk Nik Omar berkemungkinan diletakkan di salah satu kerusi dalam PH, tetapi atas kuota PKR, dia masih di bawah PH,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Terdahulu, Amanah Perak mengumumkan senarai calon parti itu tanpa nama Nik Omar sekali gus menimbulkan persoalan sama ada beliau dicalonkan atau sebaliknya.
Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi mengumumkan nama calon dari parti itu yang bertanding di enam Parlimen dan 20 DUN, dalam satu sidang akhbar di Perak.
Sebelum ini, Nik Omar antara nama yang diumumkan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding mewakili PH di Perak.
Berhubung keahlian Nik Omar, Anwar dalam satu sidang akhbar sebelum ini cuma menjelaskan, beliau sudah menyampaikan pandangannya berhubung status anak bekas Mursyidul Am Pas itu untuk bertanding di bawah PH, namun enggan mengulas lanjut.
“(Status keahlian Nik Omar) belum berbangkit sebab kita sudah menyampaikan pandangan kepada Amanah, (yang penting) kita bertanding di bawah PH,” ujarnya.
Sementara itu, Nik Omar ketika itu hanya menyifatkan: ‘Pepatah Arab ada menyebut semua jalan menuju ke Mekah, jadi ada yang jalan darat, ada yang jalan jauh, ada ke udara. Yang penting kita dalam satu PH, keberadaan ambo (saya) di sini untuk menunjukkan komitmen tentang konsisten kita untuk bawa kerajaan yang berpaksikan kepada keadilan.” –UTUSAN