JEMPOL: Kerajaan Negeri Sembilan melancarkan projek rintis, pemberian tapak rumah berkeluasan minimum 4,000 kaki persegi bagi pembangunan rumah generasi baharu Felda di Felda Palong 12 di sini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, fasa pertama projek yang sangat dinanti-nantikan oleh generasi kedua felda itu adalah melibatkan sebidang tanah seluas 5.6 hektar di Felda Palong 12 yang akan dipecahkan kepada 100 lot serta bakal dilengkapi pelbagai kemudahan.
Menurutnya, kerajaan negeri juga memperluaskan projek tersebut di felda lain dalam usaha menyelesaikan masalah rumah bagi generasi baharu Felda.
“Kadar premium tanah itu sedang diselaraskan dan akan dimaklumkan dalam sedikit masa lagi setelah ia dimuktamadkan. Keutamaan akan diberikan kepada generasi baharu yang tinggal di sekitar tanah rancangan, berkeluarga dan belum lagi memiliki rumah pertama.
“Syarat-syarat lain akan kami perincikan satu persatu dan maklumkan kemudian bagi menjamin pemberian tapak rumah ini bersifat telus bagi semua pihak. Insya-Allah, model ini akan dilaksanakan di lain-lain tanah rancangan Felda di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Pecah Tanah Lot Kediaman Harapan Generasi Baru Felda Fasa 1 di Felda Palong 12 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata, tanah-tanah rancangan Felda khususnya di Jempol kini berdepan masalah iaitu terdapat rumah yang didirikan tanpa mempunyai geran dan ia berada dalam keadaan tidak terancang.
“Ada yang memacak tiang dan membina sendiri rumah di sebelah atau di belakang rumah ibu bapa. Ada juga yang menaikkan atap, mengikat batu, melepa simen di tanah-tanah kosong kerajaan di dalam satu-satu penempatan Felda, malah, ada yang membina rumah di tanah kosong ladang berhampiran kawasan kampung.
“Kerajaan negeri mengambil tanggungjawab ini dan meminta Pejabat-pejabat Daerah dan Tanah untuk mengenal pasti tanah kosong kerajaan yang tertakluk di dalam Seksyen 6 Akta Tanah (Petempatan Berkelompok) 1965 iaitu tanah yang berbaki daripada pembangunan tanah oleh Felda supaya ia dapat dimanfaatkan mengikut keperluan penduduk setempat,” katanya. –UTUSAN