Monsun Timur Laut, Kelantan hentikan pembalakan  seketika -

Monsun Timur Laut, Kelantan hentikan pembalakan  seketika

MOHD. AMAR NIK ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan negeri sudah mengarahkan semua aktiviti pembalakan dihentikan buat seketika pada musim Monsun Timur Laut kerana ia dibimbangi menyebabkan berlakunya hakisan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, setiap tahun pihaknya akan menghentikan seketika kerja-kerja menebang balak bermula Oktober sebagaimana ditetapkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri.

Menurutnya, sepanjang tempoh masa itu, syarikat-syarikat konsesi pembalakan juga tidak dapat memasuki kawasan hutan dan menjalankan operasi menebang balak berikutan hujan lebat.

“Hanya operasi mengangkut keluar balak yang sudah ditebang boleh dijalankan pada tempoh masa berkenaan disebabkan ia tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

“Untuk menunggu sehingga habis musim hujan akan memakan masa tiga atau empat bulan dan kayu-kayu balak yang sudah ditebang akan mereput,” katanya di sini semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu memberitahu, Jabatan Perhutanan Negeri akan memantau dan memastikan tiada aktiviti menebang balak sepanjang tempoh itu setiap tahun.

Katanya, pada masa sama, lesen pembalakan baharu tidak dikeluarkan termasuk kebenaran untuk berbuat demikian.

“Oleh itu, sesiapa yang mendapati masih berlaku aktiviti menebang balak sepanjang tempoh itu boleh mengemukakan aduan atau laporan kepada Jabatan Perhutanan Negeri untuk diambil tindakan.

“Kita juga ada Pegawai Perhutanan Jajahan di setiap jajahan di Kelantan yang mewakili jabatan untuk memantau aktiviti menebang balak di kawasan masing-masing,” katanya.

Mohd. Amar berkata, orang ramai boleh membuat aduan berkenaan aktiviti pembalakan yang melanggar syarat ditetapkan kepada pegawai perhutanan di jajahan masing-masing.

“Aktiviti menebang balak sangat berbahaya dilakukan ketika musim hujan kerana boleh mengancam nyawa petugas-petugas pembalakan itu sendiri di samping boleh menyebabkan hakisan,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya