SIK: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan memperkenalkan model baharu pengurusan ladang getah untuk pekebun kecil pada tahun depan dengan Kedah menjadi negeri pertama merintis usaha tersebut sebelum diperluaskan ke seluruh negara.
Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, pengurusan ladang cara baharu itu akan memastikan setiap ladang diurus dengan kaedah lebih sistematik supaya industri getah terus mapan dan berdaya saing.
Menurutnya, ketika ini, hampir 90 peratus hasil getah negara dihasilkan pekebun kecil yang masih menguruskan ladang secara kaedah lama.
JEJAS
Beliau berkata, jika situasi itu berterusan, dikhuatiri ia akan menjejaskan bekalan getah negara dalam tempoh jangka panjang, sedangkan industri getah global terus berkembang terutama di Eropah dan Asia Barat.
“Suatu ketika dahulu ladang getah diurus secara komersial melalui syarikat korporat seperti Sime Darby, namun ketika ini hanya kira-kira 10 peratus ladang getah diuruskan Risda, Felda dan Felcra.
“Selebihnya ladang getah kini diuruskan pekebun kecil sendiri menyebabkan berlaku masalah seperti ada yang sudah berusia dan anak pula tidak minat menoreh.
“Lama-kelamaan kita khuatir apabila ladang tidak diusahakan, maka ia dijual pemiliknya dan memang tidak ada lagi tanah untuk dijadikan ladang getah baharu,” katanya selepas merasmikan Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia Bersama Pekebun Kecil Getah 2022 Wilayah Utara di sini.
Tambah Zuraida, pendapatan pekebun kecil getah diyakini dapat ditingkatkan sekiranya ladang getah dapat diurus secara sistematik dan menerapkan kaedah pengurusan korporat.
Katanya, kaedah itu juga sebahagian usaha kerajaan membantu menyelamatkan industri getah negara yang berhadapan penurunan pengeluaran hasil getah.
“Dianggarkan terdapat 40 peratus daripada satu juta pekebun kecil getah di seluruh negara tidak lagi aktif menoreh getah menyebabkan hasil pengeluaran kita rendah,’’ katanya.
Zuraida berkata, Malaysia memiliki teknologi dan kemampuan menghasilkan pelbagai produk berasas getah yang memerlukan hasil getah yang tinggi dihasilkan oleh pekebun. – UTUSAN