PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerusi program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) bersedia untuk digerakkan biarpun ketika musim banjir.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, program itu penting bagi membantu menyediakan gantian sijil atau dokumen termasuk MyKad kepada mangsa banjir.
Beliau berkata, Mekar juga turut bersedia untuk di hantar ke lokasi tertentu bencana banjir bagi menawarkan perkhidmatan.
“Sebagai contoh sudah berlaku banjir sebelum pilihan raya umum, sudah tentu orang nak mengundi susah kerana MyKad hilang.
“Di Langkawi semalam banjir besar, ada dokumen yang hilang, jadi, itulah gunanya program Mekar ini untuk memastikan bahawa mereka dapat gantian MyKad dan mereka berpeluang untuk mengundi,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Pendaftaran Negara 2022, di sini hari ini.
Katanya, JPN sentiasa bersedia untuk berkhidmat demi kepentingan rakyat secara keseluruhannya bukannya untuk kepentingan individu tertentu.
Bagaimanapun, Hamzah berkata, JPN menerusi Mekar tidak bersedia untuk meliputi kesemua kawasan bencana banjir sebaliknya fokus kepada kawasan tertentu.
“Di Malaysia ini, kebiasaannya banjir tidak berfokus, kejap sini dan sana dan merata-rata dan tidak melanda seluruh negara sekali gus. Contohnya, semalam banjir di Langkawi dan sebelum itu di Johor dan Sarawak,” katanya. –UTUSAN