Mekanik lumpuh lepas hukuman sebatan  - Utusan Malaysia

Mekanik lumpuh lepas hukuman sebatan 

SEORANG mekanik lumpuh separuh badan, Ben Khaled Abd. Molok, 42, dilepaskan daripada hukuman tiga sebatan atas kesalahan memiliki 17.71 gram dadah jenis methamphetamin oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor hari ini.-UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang mekanik yang lumpuh separuh badan dilepaskan daripada hukuman sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini atas kesalahan memiliki syabu tiga tahun lalu.

Tertuduh, Ben Khaled Abd. Molok, 42, yang berkerusi roda sebelum ini diperintah hukuman tiga sebatan kerana memiliki 17.71 gram (g) methamphetamine oleh mahkamah sama pada 17 Ogos 2020.

Hakim Datuk Ab. Karim Ab. Rahman memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan atas faktor kesihatan.

“Mahkamah menggunakan budi bicara Seksyen 291 Kanun Tatacara Jenayah untuk meminda hukuman itu. 

“Saya remit (membatalkan) terus sebatan atas faktor kesihatan,” katanya. 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Tengku Intan Suraya Tengku Ismail memohon pemindaan hukuman tiga sebatan yang dikenakan selepas doktor penjara memaklumkan bahawa tertuduh tidak sesuai untuk disebat.

Sementara itu, Peguam Hafizuddin Salehuddin yang mewakili Ben Khaled memberitahu, anak guamnya selesai menjalani penjara tiga tahun bermula tarikh tangkapan pada 12 Februari 2019.

“Beliau (anak guam) telah bebas sepenuhnya daripada kesalahan itu selepas mahkamah membatalkan hukuman sebatan dan sudah menjalani penjara tiga tahun.

“Selepas selesai dokumentasi di penjara nanti (Penjara Kajang), dia akan dibebaskan,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Ben Khaled didakwa memiliki dadah methamphetamine seberat 17.71g di sebuah bengkel kereta di Taman Perindustrian Tago, Sri Damansara kira-kira pukul 4 petang, 12 Februari 2019.

Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 39A (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan tidak  lebih sembilan sebatan rotan.

Kelmarin, Mahkamah Rayuan Putrajaya melepas dan membebaskan tertuduh daripada hukuman gantung sampai mati atas kesalahan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 10.53g.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Seri Kamaludin Md. Said memutuskan sabitan mengedar dadah terhadap Ben Khaled tidak selamat.

Dua lagi hakim yang menganggotai panel itu ialah Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Hashim Hamzah. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya