MAYC beri bayangan kekal sokong kerajaan - Utusan Malaysia

MAYC beri bayangan kekal sokong kerajaan

MOHD. Al HAFIZI Abu Bakar ketika ditemui media selepas perasmian Persidangan Dewan Muda MAYC dekat Putrajaya hari ini. - UTUSAN/AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) mengulangi pendiriannya akan terus kekal menyokong mana-mana kerajaan tidak kira siapa bakal mentadbir negara kelak.

 Bagaimanapun, Presiden MAYC Kebangsaan, Mohd. Al Hafizi Abu Bakar dalam nada berlapik memberi bayangan awal bahawa organisasi tersebut lebih cenderung kepada Barisan Nasional (BN).

Malah, secara berseloroh, beliau seolah-olah mengingatkan balik 47,366 ahlinya di seluruh negara agar tidak lupa penipuan janji oleh pihak kerajaan sebelum ini ke atas golongan belia.

“Macam isu pemansuhan pinjaman PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional), memang tidak logik tetapi ramai anak muda terpedaya percaya,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, beliau menghadiri Persidangan Dewan Muda MAYC 2022 yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Dr. Kang Tong Hum dekat sini.

Program julung kali yang berlangsung dengan format ala Parlimen itu disertai 40 perwakilan dari seluruh negara dan melibatkan pembentangan 50 usul sebelum penangguhan pada esok.

MAYC yang awal ditubuhkan pada 1954 lalu dinamakan sebagai Persatuan Pemuda Pemudi Malaya dan ketika ini disertai oleh gabungan sejumlah 613 kelab belia meliputi 99 kawasan.

Baru-baru ini beberapa badan belia menyuarakan sokongan terbuka kepada parti tertentu dan meminta semua ahli mengundi blok siasah itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) bulan depan.

Kecenderungan organisasi tersebut kepada parti politik berkenaan memang sudah dijangka pelbagai pihak bahkan dapat dilihat jelas ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor.

Mengulas lanjut, Mohd. Al Hafiz yang baru menerajui MAYC awal tahun ini sebagai pemimpin kesembilan, namun, menyeru ahli-ahlinya tidak lagi mengundi parti yang suka berjanji kosong.

“Saya tahu ada ahli MAYC yang prokerajaan dan ada juga tidak, tetapi insya-Allah kami tetap bersama kerajaan meskipun kerajaan yang sebelum ini tidak selesa dengan kami,” jelasnya.

Dalam nada berjenaka, beliau mengimbau pengalaman pahit generasi muda ditipu sebuah blok politik ketika PRU-14 pada 2018 lalu sehingga mengakibatkan mereka berasa dinistakan.

Situasi buruk itu menyebabkan ramai belia melihat politik tanah air dipenuhi manusia yang hanya pandai menabur janji manis dan enggan mengundi pada PRN di Melaka dan Johor lalu.

Justeru, beliau akan mengerahkan kesemua jentera MAYC untuk mendekati remaja khususnya berusia 18 tahun sehingga 20 tahun bagi menunaikan tanggungjawab pada PRU-15 nanti.

MAYC yang diketahui sebagai condong kepada BN sejak sekian lama bahkan pernah diterajui pemimpin Biro Tata Negara (BTN) dan lantang dalam memperjuangkan Gagasan 1 Malaysia.

Seperti juga Gerakan Belia 4B Kebangsaan dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), ramai tokoh MAYC kemudian menjadi barisan pelapis dalam barisan kepimpinan UMNO. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya