CAMERON HIGHLANDS: Mangsa ketiga yang terselamat dalam kejadian helikopter terhempas di Brinchang di sini dibawa turun kira-kira pukul 6.34 petang tadi.
Selepas mangsa pertama iaitu seorang lelaki dibawa keluar dari lokasi nahas pada pukul 5.30 petang tadi, seorang wanita dipercayai doktor dibawa keluar pada pukul 6.16 petang.
Ini diikuti mangsa ketiga, seorang lelaki dipercayai kakitangan perubatan dibawa keluar pada pukul 6.34 petang.
Semua mangsa mengalami kecederaan.
Mereka dibawa menaiki ambulans untuk dihantar untuk rawatan di Hospital Sultanah Hajah Kalsom di sini. Tiga mangsa lain sedang dibawa keluar dari kawasan nahas oleh pasukan penyelamat.
Dalam kejadian tengah hari tadi, sebuah helikopter dinaiki enam kru termasuk seorang juruterbang dilaporkan terhempas di Brinchang.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 1.15 petang tadi melibatkan helikopter milik syarikat swasta yang membawa lima pegawai perubatan termasuk seorang doktor. –UTUSAN