Mangsa dera cedera seluruh badan - Polis Johor - Utusan Malaysia

Mangsa dera cedera seluruh badan – Polis Johor

KAMARUL ZAMAN MAMAT (tengah) menyaksikan majlis serah terima tugas jawatan Timbalan Ketua Polis Johor antara Kok Chin (kiri) dan Kumar di IPK Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang meninggalkan dunia  kelmarin disahkan menjadi mangsa dera berdasarkan laporan awal bedah siasat.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, beberapa kesan kecederaan dan lebam turut dikesan di  tubuh kanak-kanak itu.

Menurut beliau, polis kini sedang menyiasat dakwaan bahawa adik lelaki mangsa yang berusia setahun turut menjadi mangsa penderaan oleh suspek sama.

“Bedah siasat telah dilakukan, walaupun keputusan makmal belum diperoleh, tetapi pemeriksaan awal mendapati terdapat kecederaan di keseluruhan tubuh mangsa, dari atas hingga bawah.

“Selain itu, menerusi temu bual dua lagi  anak suspek mereka turut mendakwa nampak bapa mereka, iaitu suspek melakukan penderaan ke atas  mangsa,” kata beliau  selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Johor antara Datuk Khaw Kok Chin dan Deputi Komisioner M. Kumar.

Terdahulu, dua suspek, iaitu seorang jurujual kenderaan berusia 28 tahun dan seorang pembantu rumah warganegara Indonesia berusia 40 tahun ditahan reman  tujuh hari bagi membantu siasatan kes dera tersebut.

Sementara itu, dalam program tersebut, Kok Chin yang memegang jawatan Timbalan Ketua Polis Johor sejak 6 Mei 2020 dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman dengan memangku pangkat komisioner.

Kumar sebelum ini Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Pelucuthakan Harta), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman dan pernah berkhidmat di Kontinjen Johor sebagai Ketua Polis Daerah Mersing, Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan dan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN