MELAKA: Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang cerah untuk merampas kembali kerusi Parlimen Tangga Batu yang kini dimiliki Pakatan Harapan (PH) melalui penyandangnya, Rusnah Aluai.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Rais Yasin menegaskan, dengan prestasi memenangi tiga daripada empat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Tangga Batu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, pengundi diseru mengembalikan mandat kerusi berkenaan kepada BN.
Beliau berkata, mandat yang seiring antara DUN dan Parlimen dapat membantu melicinkan penyelesaian isu pembangunan dan masalah-masalah rakyat yang tertunggak sejak sekian lama.
“Kerana kalau kita lihat tiga DUN sudah menjadi milik BN, jika Parlimen ini diserahkan kembali mandatnya kepada BN, ini akan lebih mudah untuk pembangunan untuk membantu menyelesaikan masalah-masalah rakyat.
“Kita tahu di Parlimen Tangga Batu ini sedikit unik, dengan 118,000 jumlah pengundi, hampir 28 peratus adalah pengundi bukan Melayu. Jadi, di sini banyak isu-isu pembangunan yang perlu diselesaikan dengan bukan hanya kawasan peringkat DUN sahaja.
“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mungkin mempunyai bajet yang kurang tetapi kalau di peringkat Parlimen itu lebih mudah. Jadi, serahkan mandat itu kepada BN supaya kita boleh sama-sama bergerak seiring di peringkat DUN dan Parlimen. Jadi, ini dapat menyelesaikan isu-isu tertunggak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Isi Minyak Motosikal Percuma di Stesen Petronas Taman Rambai Utama, Paya Rumput di sini hari ini.
Tiga kerusi DUN dimenangi BN dalam Parlimen Tangga Batu adalah Paya Rumput, Klebang dan Pantai Kundor manakala Sungai Udang berjaya dirampas Perikatan Nasional (PN) melalui Dr. Mohd. Aleef Yusof.
Dalam pada itu, mengulas berkenaan persiapan sekolah-sekolah di Melaka untuk beroperasi sebagai pusat pembuangan undi (PPU) dan pusat pemindahan sementara (PPS) banjir, Rais yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri berkata, beliau mencadangkan mana-mana sekolah yang dikenal pasti berpotensi dijadikan PPS tidak akan beroperasi sebagai PPU.
“Dalam mesyuarat tempoh hari, memang kita bincang tentang itu. Saya minta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk pastikan daripada pihak Kementerian Pendidikan, mana-mana sekolah yang terlibat menjadi PPS mungkin tidak boleh dijadikan sebagai pusat pengundian.
“Saya serahkan kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga Kementerian Pendidikan, bukan sahaja di Melaka kita yakin banyak lagi negeri-negeri lain kalau betul-betul banjir berlaku, akan jadi masalah lebih besar kalau tempat itu dijadikan tempat mengundi, tempat itu juga dijadikan PPS,” jelasnya. –UTUSAN