SEREMBAN: Menyakitkan mata malah menjijikkan. Itu pemandangan sekiranya melalui Jalan Lama Bukit Putus, di sini yang menjadi lokasi pembuangan sampah haram terutama sampah-sampah pukal.
Sofa dan almari lama dan tayar-tayar lama motosikal bertimbun, malah, ada yang sudah jatuh ke dalam gaung di beberapa lokasi di sepanjang jalan yang wujud sejak 1920-an tersebut.
Sebenarnya, masalah yang timbul itu bukanlah perkara baharu, malah, tindakan pembersihan beberapa kali diambil oleh pihak berwajib, namun, masalah berkenaan berulang.
Tinjauan Utusan Malaysia di laluan Persekutuan itu semalam mendapati, dua lokasi utama menjadi tempat pembuangan sampah haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Ia dipercayai berpunca daripada keadaan jalan raya berkenaan yang kini sudah jarang digunakan oleh kenderaan sejak Jalan Seremban-Kuala Pilah dibuka pada 2009.
Keadaan lengang itu menyebabkan ramai yang berani dan mengambil jalan mudah dengan membuang sampah-sampah pukal tersebut apatah lagi dengan kurangnya rondaan dan pemantauan pihak berwajib.
Apa yang berlaku itu, memang menyedihkan apatah lagi jika tidak diatasi malah dibiarkan berterusan ia boleh mencemarkan kawasan hutan yang terletak di sekeliling jalan berkenaan.
Seorang pekerja swasta dikenali sebagai Mohd. Kamil, 45, berkata, apa yang berlaku itu sangat dikesalkan apatah lagi kawasan berkenaan menjadi tumpuan penggemar aktiviti joging dan berbasikal.
“Jalan lama Bukit Putus adalah laluan bersejarah kerana pernah menjadi jalan utama yang menyambungkan Seremban dengan Kuala Pilah.
“Ia mempunyai banyak potensi tarikan pelancongan dan setiap hujung minggu dan cuti umum, laluan ini sering menjadi lokasi penggemar aktiviti berbasikal dan joging.
“Mereka malahan ada yang datang dari luar Negeri Sembilan justeru jika masalah ini dibiarkan tanpa tindakan tegas dan sewajarnya, ia pasti menjejaskan imej negeri ini,” katanya. –UTUSAN