MELAKA: Suasana di Kampung Bukit Tempayan, Tanjung Kling di sini bertukar tegang semalam selepas seorang lelaki dipercayai kurang siuman bertindak ganas memukul isterinya sebelum mengamuk di atas bumbung rumah sambil memegang sebilah parang serta pisau.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.20 pagi itu, lelaki berusia 37 tahun itu berjaya dibawa turun dengan bantuan polis dan pasukan bomba selepas berada di atas bumbung hampir dua jam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi.
“Polis menerima maklumat seorang lelaki menumbuk isterinya pada bahagian mata dan memarahi tiga anaknya berusia 10 hingga 13 tahun sebelum mengamuk di atas bumbung.
“Sepasukan anggota ke sana untuk pemeriksaan dan mendapati individu itu berada di atas bumbung rumah sambil memegang senjata parang dan pisau pemotong daging kecil,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Insiden itu turut tular dalam media sosial menerusi beberapa keping gambar yang memaparkan anggota bomba sedang memujuknya turun ke bawah.
Tambah Christopher, lelaki itu turut bertindak mencampak pisau dan perabung atap ke bawah, namun tidak mengenai anggota bertugas.
“Kita kemudian meminta bantuan bomba untuk memanjat naik ke atas bumbung bagi memujuknya.
“Seramai 11 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu tiba dan salah seorang daripadanya berjaya naik, namun, berlaku pergelutan menyebabkan beberapa keping atap pecah,” jelasnya.
Katanya lagi, lelaki itu akhirnya berjaya dibawa turun pukul 1.40 petang dan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan kerana mengalami kecederaan pada bahagian kening serta badan akibat pergelutan.
“Hasil semakan lanjut, lelaki tersebut merupakan pesakit mental yang sedang menjalani rawatan psikiatrik dan dikatakan enggan memakan ubat yang diberikan oleh pihak hospital,” jelasnya. –UTUSAN