PETALING JAYA: Lebih 600,000 rakyat Malaysia mengunjungi Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) secara maya setakat Ogos lalu berbanding 29,716 berkunjung secara fizikal.
Jumlah ini sekali gus menunjukkan minat rakyat membaca masih tinggi, namun, kebanyakannya memilih bahan bacaan secara digital.
Malah, perpustakaan pada zaman ini bukan seperti dahulu, sebaliknya dilengkapkan dengan kemudahan WiFi, komputer meja, ruang santai, kafe, bilik perbincangan dan sebagainya.
Naib Presiden II Persatuan Pustakawan Malaysia, Dr Faizal Mohd Hamzah berkata, perpustakaan sekarang sudah moden kerana ia bukan lagi hanya tempat untuk belajar dan membaca secara senyap.
“Sebagai contoh, Perpustakaan Utama Universiti Malaya (UM) akan mengadakan Fashion Show Week pada Disember akan datang di perpustakaan tersebut bagi membuktikan perpustakaan ini sebuah entiti yang proaktif serta bagi menggalakkan orang ramai mengunjunginya.
“Perpustakaan Awam Pahang pula, mereka tidak terkesan langsung dengan isu relevan ke tidak kerana kunjungan masih ramai sebelum dan selepas pandemik disebabkan mereka sangat aktif dengan sentiasa melakukan pelbagai jenis program,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurutnya, Perpustakaan Awam Kedah menerima 41,604 pengunjung fizikal pada tahun 2021 dan 27,366 sehingga Ogos lalu manakala di laman sesawang pula seramai 36,431 pengunjung pada tahun 2021 dan 24,949 sehingga Ogos lalu.
“Walaupun perpustakaan fizikal masih relevan, budaya membaca tidak boleh diukur dari jumlah kehadiran pengunjung ke perpustakaan fizikal sahaja kerana ramai sudah beralih dari cara konvensional ke digital.
“Sebelum pandemik dapat dilihat lebih ramai berkunjung ke perpustakaan namun, semasa pandemik jumlah kunjungan jatuh mendadak tetapi ramai mula menggunakan carian digital iaitu U-Pustaka,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, sudah sampai masanya perpustakaan di Malaysia mengembangkan peranannya dengan menjadi pemangkin kepada aktiviti masyarakat setempat.
“Perpustakaan sekarang tidak boleh hanya memfokuskan kepada penyimpanan buku sahaja tetapi ruang mencari jaringan dan merapatkan ukhuwah sesama rakyat Malaysia.
“Wujudkan kafe dan tempat bermain kanak-kanak serta adakan ceramah dan forum yang mampu menarik minat masyarakat untuk mengunjungi,” katanya.
Namun katanya, rakyat Malaysia yang tidak berkunjung ke perpustakaan bukan bermaksud mereka tidak membaca kerana pilihan membaca secara atas talian adalah lebih efisien. –UTUSAN