Khalid Ahmad sahkan bertanding DUN Pauh - Utusan Malaysia

Khalid Ahmad sahkan bertanding DUN Pauh

KHALID AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Bekas senator, Khalid Ahmad mengesahkan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pauh dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di negeri ini.

Bekas Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man itu akan bertanding mewakili Parti Warisan Sabah (Warisan) sekali gus bakal memberi cabaran sengit khususnya kepada calon Barisan Nasional (BN) di situ.

Nama Khalid, 68, bukanlah asing khususnya dalam kalangan pengundi di DUN Pauh memandangkan semasa beliau berada di dalam UMNO sejak tahun 1979, nama beliau sudah beberapa kali pernah disebut-sebut menjadi calon di kawasan berkenaan.

Khalid berkata, beliau mendapat sokongan dan galakan khususnya daripada pengundi Pauh agar bertanding di kawasan berkenaan selepas beberapa kali gagal ditampilkan sebagai calon semasa berada di dalam UMNO.

Kata bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Arau itu, beliau sudah sekian lama dengan penduduk di situ dan sinonim khususnya di kawasan Pauh sekali gus bakal memberi kelebihan kepadanya dalam pilihan raya nanti.

“Insya-Allah, kita ada keyakinan menang di DUN Pauh dan saya sememangnya sudah lama bersama penduduk Pauh ini. Saya mendapat persetujuan dan sokongan orang-orang Pauh yang mahu saya bertanding di situ,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sebelum ini, Warisan yang baharu bertapak di negeri ini mengesahkan akan bertanding di semua kerusi Parlimen dan enam DUN pada PRU15 di Perlis.

Tiga kerusi Parlimen tersebut adalah Kangar, Arau dan Padang Besar manakala kerusi DUN yang akan ditandingi pula membabitkan kawasan Pauh, Titi Tinggi, Mata Ayer, Kuala Perlis, Kayang, dan Simpang Empat.

Dalam PRU14, BN menerusi Rozieana Ahmad hanya menang tipis dengan majoriti 143 undi mengatasi calon daripada Pakatan Harapan (PH), Amier Hassan dan wakil Pas, Idris Yaacob.

DUN Pauh dalam PRU15 dijangka menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon BN, Perikatan Nasional (PN), PH dan Warisan.

Sebagai rekod, setakat Ogos 2022, jumlah pengundi berdaftar di kerusi DUN Pauh ialah sebanyak 14,797. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya