SHAH ALAM: Kesemua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini diarah menyertai ‘Voluntary Local Review’ (VLR) bagi memastikan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) menjelang 2030 dapat dicapai.
Menurut Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam, Ng Sze Han, setakat ini, hanya Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) telah menyerahkan laporan tersebut.
“VLR adalah seperti kad laporan berhubung laporan kemajuan pencapaian 17 perkara dalam SDG melibatkan setiap PBT.
“Sebagai contoh MBSA menghantar laporan VLR pada tahun 2021 dan mereka boleh menghantar laporan kemajuan bila-bila masa selepas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Persidangan Malaysia Urban Forum (MUF) 2022 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini.
Untuk rekod, Matlamat Pembangunan Mampan atau Matlamat Pembangunan Lestari terdiri daripada 17 matlamat yang dikemukakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam Perhimpunan Agung PBB pada September 2015, di New York, Amerika Syarikat untuk dicapai pada 2030 sebagai agenda demi pembangunan dan kemaslahatan manusia dan Bumi.
Antara 17 perkara di bawah SDG adalah menamatkan kemiskinan dalam semua bentuk di mana-mana, menamatkan kelaparan, mencapai jaminan makanan dan nutrisi yang lebih baik serta menggalakkan pertanian mampan dan memastikan kehidupan sihat dan menggalakkan kesejahteraan kepada semua dalam semua lapisan umur.
Mengulas lanjut Sze Han berkata, beliau berharap kesemua PBT lain turut menghantar laporan kemajuan VLR seperti MBSA dan MBSJ.
“Ini bagi membolehkan kita menilai sesuatu pencapaian SDG oleh setiap PBT bagi mencapai 17 perkara tersebut.
“Jika laporan tersebut tidak diserahkan kita tidak tahu sejauh mana SDG tersebut boleh dicapai oleh 12 PBT tersebut. Kita di Selangor yakin boleh mencapai sasaran tersebut menjelang 2030,”katanya. –UTUSAN