GUA MUSANG: Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) memperuntukkan RM1.25 juta pada tahun ini bagi membantu 187 peserta meningkatkan sumber ekonomi dan pendapatan masing-masing.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM595,000 diperuntukkan untuk penyediaan kursus,latihan serta bantuan peralatan perniagaan menerusi Program Sokongan Perniagaan (PSP) dan baki RM655,000 lagi diperuntukkan melibatkan menerusi Program Peningkatan Pendapatan (PPP).
Pengurus Besarnya, Dr. Shahrir Mohammad Zakey berkata, PPP yang merangkumi 11 kategori perniagaan iaitu pembuatan dan baik pulih perabot, makanan dan kulinari, elektrik dan elektronik, pembinaan dan baik pulih kediaman, automotif, motosikal, fotografi dan videografi, pembaikan gajet dan komputer, fesyen dan jahitan, dandanan dan gunting rambut serta pertanian dan perladangan membabitkan seramai 67 peserta.
Menurutnya, menerusi PSP Kesedar menyediakan kemahiran latihan, kursus dan ‘coaching’ bagi mengembangkan perniagaan serta menggalakkan peniaga yang terdiri daripada pelbagai sektor perniagaan dalam kawasan agensi itu untuk membangunkan produk dan perkhidmatan.
“Kesedar mahu meningkatkan pendapatan peniaga serta memperluaskan dan menggalakkan pasaran produk perniagaan atas talian. Untuk makluman, tahun ini menerusi PSP sebanyak RM595,000 telah diperuntukan menerusi penyediaan kursus, latihan serta bantuan peralatan perniagaan.
“Pada masa sama, seramai 119 peserta PSP turut diberi bantuan sebanyak RM5,000 setiap seorang.
“Ini merupakan salah satu usaha kerajaan dalam meningkatkan pendapatan peserta di kawasan luar bandar melalui penglibatan di dalam projek-projek ekonomi yang dapat meningkatkan taraf hidup mereka. Kedua-dua program ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia pada Majlis Penyerahan Peralatan PSP di bawah Program Rehabiliti Komuniti Fasa 2 (Peralatan Bengkel) dan PPP di Ibu Pejabat Kesedar di sini semalam.
Sementara itu, seorang peserta, Cik Fazila Rosol, 36, dari Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Gua Musang, memberitahu, bantuan mesin itu amat bermakna buatnya sekali gus memudahkan kerja-kerja pemotongan material dalam penghasilan perabot.
“Saya mula mengusahakan perniagaan membuat perabot ini selepas fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu. Saya bermodalkan RM5,000 dan hanya menggunakan kaedah manual untuk memotong dan membelah material seperti plywood.
“Sebelum ini, suami saya bekerja dengan orang dan saya mengajaknya untuk terlibat dalam perniagaan ini sendiri di Kampung Batu Papan, Gua Musang. Alhamdulillah, kini penerimaan di kalangan pelanggan amat menggalakkan dan dengan bantuan mesin ini, kerja-kerja kami akan jadi lebih cepat,” ujarnya.-UTUSAN