JOHOR BAHRU: Adik lelaki kepada kanak-kanak berusia tiga tahun yang didera sehingga maut di Taman Skudai, kelmarin dipercayai turut menjadi mangsa penderaan.
Perkara itu dimaklumkan oleh waris mangsa kepada seorang pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang ditemui di pekarangan Rumah Mayat, Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini hari ini.
Pemeriksaan terhadap adik mangsa yang berusia setahun itu menemui kesan lebam di beberapa bahagian badannya, termasuk pada mukanya.
Sementara itu, bapa saudara mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lee, 27, memberitahu, mangsa yang mesra dengan panggilan ‘Ah Jie’ merupakan seorang kanak-kanak yang cergas dan aktif.
Menurutnya, kali terakhir bertemu dengan kanak-kanak malang itu semasa sambutan Tahun Baharu Cina, Februari lalu.
“Saya tidak dapat pastikan sama ada mayat anak saudara itu mempunyai kesan penderaan atau tidak, tetapi saya ada lihat gambar mangsa dengan kesan kecederaan di tepi mata dan mulutnya.
“Abang dan kakak ipar saya menghantar dua orang anak mereka untuk dijaga oleh suspek kerana mereka kerja berjauhan. Abang saya bekerja di Singapura, manakala kakak ipar di Yong Peng.
“Saya sendiri tidak mengenali suspek secara peribadi,” katanya sambil memberitahu kebiasaannya abang dan kakak iparnya akan bertemu dengan anak-anak mereka dalam tempoh dua atau tiga hari sekali kerana kekangan kerja.
Sementara itu, usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan komen daripada ibu dan bapa mangsa gagal kerana mereka enggan ditemu bual.
Difahamkan, mayat kanak-kanak lelaki itu akan dibawa ke Yong Peng selepas selesai proses bedah siasat untuk urussan pengebumian. –UTUSAN