PETALING JAYA: Kedudukan bangunan bersambung dan dibina dengan kayu dan papan menyebabkan api merebak secara cepat dalam kebakaran deretan 13 kedai di Jalan Pasar, Pekan Baru Serdang dekat sini terbakar, awal pagi tadi.
Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya sedang menyiasat bagi mengenal pasti punca kebakaran.
Katanya, malah, bangunan tersebut melebihi 50 tahun.
“Semasa bomba tiba, api marak membakar. Kita menyelamatkan lapan bangunan di sebelah kiri dan sebelah kanan kedai.
“Kemerebakan pantas disebabkan oleh bangunan bersambung yang dibina dengan kayu dan papan. Kita masih menyiasat punca sebenar,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, seramai 24 anggota bersama lapan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang, BBP Bandar Tun Hussein Onn, BBP Bangi dan BBP Seksyen 7 dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kejadian terbabit.
Norazam berkata, sebaik tiba, pihaknya mendapati berlaku kebakaran di sebuah kedai emas yang merebak ke 12 premis lain di deretan rumah kedai berkenaan.
Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu dan punca kejadian masih dalam siasatan.-UTUSAN