JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia setelah terjatuh dari kerusi bayi di sebuah restoran di Taman Sutera, dekat sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintenden Fariz Ammar Abdullah berkata, dalam kejadian pukul 3 petang itu, kanak-kanak berusia dua tahun itu bersama keluarganya sedang menjamu selera.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kanak-kanak itu menolak meja menggunakan kakinya sehingga menyebabkan kerusi bayi itu terjatuh.
“Ketika terjatuh kepala bayi itu terhentak di lantai. Bayi lelaki itu menangis dengan kuat sebelum pengsan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Fariz Ammar berkata, bapa mangsa bergegas membawa anaknya ke klinik swasta, namun dinasihatkan doktor untuk dihantar terus ke hospital kerana keadaannya yang serius.
“Bapa mangsa kemudian membawa anaknya ke sebuah hospital swasta di Iskandar Puteri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di situ,” katanya.
Mayat kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk dibedah siasat.
Katanya, polis yang menerima kes kejadian itu mendapati tiada unsur jenayah di lokasi kejadian.- UTUSAN