MEKAH: Jemaah Malaysia yang mengerjakan umrah di tanah suci dan bersolat di Masjid Nabawi, Madinah dinasihatkan sentiasa mengambil langkah-langkah keselamatan kesihatan walaupun beberapa prosedur operasi standard (SOP) berkaitan penularan Covid-19 yang melanda seluruh dunia telah ditarik balik sepenuhnya oleh kerajaan Arab Saudi.
Perunding Umrah dan Ziarah Hi-Fly Travel & Tours, Izudin Muhamad Amin berkata, pihaknya yang mengendalikan lebih 60 jemaah Malaysia pada minggu lalu sentiasa memberi taklimat dari semasa ke semasa mengenai pencegahan Covid-19.
Menurutnya, langkah-langkah keselamatan kesihatan itu penting walaupun para jemaah sudah lengkap mengambil dua vaksin dan satu booster sebelum mengerjakan umrah dan ziarah.
“Walaupun kerajaan Arab Saudi sudah menarik balik beberapa SOP berkaitan pencegahaan Covid-19, namun para jemaah Malaysia sentiasa dinasihati supaya menjaga kesihatan. Ini termasuk menyediakan ubat-ubatan seperti ubat batuk, selesema, pelitup muka dan sebagainya.
“Kami berpuas hati kerana sehingga kini kumpulan jemaah yang dibawa sentiasa berada dalam keadaan sihat. Begitu juga kumpulan jemaah sebelum ini sejak Mei lalu,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Antara perkembangan terbaharu di Arab Saudi, para jemaah tidak lagi memerlukan penjarakan ketika solat selain pemakaian pelitup muka juga tidak diwajibkan. Selain itu, para jemaah yang menaiki bas, tren mahupun membeli-belah, juga tidak lagi memerlukan pemakaian pelitup muka.
Kerajaan Arab Saudi juga tidak mensyaratkan bukti ujian kendiri Covid-19 bagi jemaah yang hendak berkunjunga ke negara itu bagi mengerjakan umrah.
Namun bagi kebanyakan jemaah dari Malaysia, pemakaian pelitup muka bukan sahaja menjadi kebiasan, malah trend dalam kehidupan harian terutama ketika berada dalam kalangan ramai.
Izudin berkata, pelitup muka yang dipakai jemaah Malaysia juga bersesuaian terutama ketika ziarah di kawasan tertentu yang berhabuk atau terdapat angin yang menerbangkan pasir.
“Para jemaah kita memahami keadaan ini termasuk mereka menyediakan kit pemeriksaan kendiri dalam memastikan tidak dijangkiti Covid-19,” katanya.
Beliau menjelaskan, pihaknya akan sentiasa melaksanakan SOP yang ketat terutama sebelum pulang ke tanah air. – UTUSAN