Jangan main letak calon di kerusi boleh menang - Shahidan - Utusan Malaysia

Jangan main letak calon di kerusi boleh menang – Shahidan

SHAHIDAN Kassim beramah mesra bersama mahasiswa selepas Majlis Penyerahan Peranti Siswa Keluarga Malaysia di Dewan Ilmu Kampus Alam Universiti Malaysia Perlis (Unimap) di Pauh Putra, Arau, Perlis hari ini.- UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim memberi ingatan kepada pucuk pimpinan  agar  tidak memperjudikan kerusi boleh menang termasuk Parlimen Arau dengan meletakkan calon sebarangan.

Menurut beliau,  Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sangat penting dalam menentukan pembentukan kerajaan dan setiap kerusi Parlimen sangat berharga.

Kata Menteri Wilayah Persekutuan itu, beliau ingin mengekalkan kerusi Parlimen Arau sebab yakin  boleh menang.

“Tidak boleh main-main (dalam soal pemilihan calon ini) setiap kerusi cukup bernilai. Pastikan kita tampilkan calon boleh menang,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Peranti Siswa Keluarga Malaysia di Dewan Ilmu Kampus Alam Universiti Malaysia Perlis (Unimap) di Pauh Putra di sini hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan,  UMNO Perlis mengemukakan sekurang-kurangnya lima nama calon bagi setiap kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk dipilih bertanding dalam PRU15 negeri ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Azlan Man dilaporkan berkata, semua nama berkenaan akan disaring dan dipertimbangkan oleh lima pemimpin tertinggi UMNO (Top 5) sebelum dimuktamadkan.

Sebagai rekod, Shahidan yang sudah lebih 30 tahun dalam politik menguasai Parlimen Arau pada Pilihan Raya Umum 1986,1990,2013 dan 2018 selain pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Besar dari 1995 hingga 2008.

Tambah Shahidan, dalam PRU14, Parlimen Arau berjaya memperolehi kemenangan besar berbanding kawasan-kawasan lain dan dalam soal calon memainkan peranan penting ke atas faktor kemenangan tersebut.

“Malah, dengan kehadiran pengundi baharu bakal memberi lebih cabaran. Malah, kerusi-kerusi seperti Pauh, Guar Sanji, Sanglang dan Simpang Empat juga sangat mencabar kali ini,” katanya.

Sementara itu, Shahidan menegaskan kepada mereka yang teringin hendak menjadi calon agar tidak membuat kacau dengan selalu memperburuk-burukkan pemimpin lain.

“Insya-Allah saya sudah buat yang terbaik untuk Arau selama ini dan sekali lagi saya cadangkan kerusi yang menang perlu dipertahankan,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya