PETALING JAYA: Selepas hampir tiga tahun menjalin hubungan cinta, pasangan pelakon, Halim Radzi dan Sharifah Husna selamat bergelar suami isteri apabila disatukan di kediaman pengantin perempuan di Kajang, semalam.
Pada majlis tersebut, Halim atau nama sebenarnya Abdul Halim Radzi Sapari, 26, dinikahkan sendiri oleh bapa Husna, Syed Faizal Syed Mohd. dengan sekali lafaz.
Halim menyerahkan seutas gelang tangan emas sebagai mas kahwin dan lima dulang hantaran dibalas tujuh daripada pihak pengantin perempuan.
Manakala, wang hantaran pula digantikan dengan sebentuk cincin dan barang kemas.
Bintang drama Jangan Menangis Cinta itu bersyukur, majlis pernikahan yang dirancang sejak Januari lalu berjalan seperti yang dijadualkan.
“Alhamdulillah, kami selamat bergelar suami isteri, semalam.
“Tidak tergambar perasaan gemuruh apabila dinikahkan sendiri oleh bapa mentua. Memang sangat gementar sehingga saya sebak dan mengalirkan air mata.
“Bukan tidak mahu berkongsi, tetapi kami memilih untuk lebih privasi selain risau ada perkara yang akan menganggu perjalanan majlis dan sebagainya,” katanya.
Kongsinya lagi, majlis resepsi di sebelah pengantin perempuan akan berlangsung pada 30 Oktober depan di Putrajaya.