SHAH ALAM: Gagal memburu peluang ke pentas final, Pat Candy akur diumumkan sebagai peserta tersingkir pada minggu kelima program Gegar Vaganza (GV) kesembilan.
Mendapat markah 58.40 menerusi persembahan lagu Babak Pertama (nyanyian asal Drama Band), Pat yang hampir tersingkir minggu lalu tidak berjaya meneruskan perjuangan ke minggu hadapan.
“Minggu lepas mungkin raptai untuk minggu ini. Terima kasih kepada peminat yang menyokong. Nantikan single baharu saya selepas ini,” katanya.
Mengulas keputusan itu, Ketua Juri, Datuk Ramli MS berkata, masalah lagu adalah antara punca persembahan Pat kurang menyerlah, terutama apabila menyanyi bersama penyanyi lelaki.
“Kita perlukan lebih tenaga dan kreativiti dalam persembahan. Bila ada persembahan yang lebih baik, kita akan nampak mereka yang berada pada kedudukan terendah,” ujarnya.
Sementara itu, Jaclyn Victor yang menyanyikan lagu Cinta (nyanyian asal Marsha Milan) bersama Aina Abdul masih mengekalkan tempat pertama seperti minggu lalu.
Persembahan yang mendapat standing ovation daripada juri tetap, Hetty Koes Endang tersebut mendapat markah tertinggi iaitu 92.40.
Jaclyn juga memenangi anugerah Bintang Memukau Adabi dan membawa pulang wang tunai RM1,000 serta barangan Adabi bernilai RM500.
Sementara itu, Anugerah Juara Next Level Digi untuk minggu kelima pula dimenangi Hazrul Nizam berdasarkan undian peminat dan membawa pulang wang tunai RM1,000.
Bob Yusof memenangi Anugerah Bintang Cuckoo Paling Gempak berdasarkan undian tertinggi dan membawa pulang produk jenama tersebut.
Berikut adalah kedudukan peserta pada minggu keempat:
1. Jaclyn Victor – 92.40
2. Shila Amzah – 82.20
3. Fuad Rahman – 81.70
4. Bob Yusof – 81.40
5. Tomok – 79.20
6. Tom – 76.40
7. VE – 76.00
8. Hazrul Nizam – 73.90
9. Dina Nadzir – 67.60
10. Asheed Def Gab C – 66.20