MELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri merampas sebanyak 200 tan metrik baja sebatian bersubsidi dan 300 tan gula pasir, keseluruhan bernilai RM4.5 juta dalam serbuan di sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai di sini hari ini.
Pengarah KPDNHEP Melaka, Norena Jaafar berkata, serbuan kira-kira pukul 11 pagi oleh empat anggota penguat kuasa itu adalah hasil risikan selama sebulan yang dijalankan sebelum ini.
Menurutnya, pihaknya turut menahan dua pekerja warga asing yang dipercayai menjaga premis tersebut.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, pemilik gudang adalah sebuah syarikat pemborong yang beroperasi tidak jauh dari lokasi serbuan dan melakukan kesalahan menyimpan barangan kawalan di premis tidak dilesenkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Anggaran untuk 200 tan baja sebatian bersubsidi bernilai RM3.5 juta dan 300 tan gula pasir pula bernilai RM855,000.
“Kita tidak tahu bagaimana baja bersubsidi hak milik kerajaan yang tidak boleh dijual beli boleh disimpan di gudang ini tanpa lesen yang sah.
“Begitu juga 300 tan metrik gula yang didakwa pemiliknya sebagai sudah rosak, tetapi, dipercayai mungkin tenggelam dalam banjir, disimpan di sini dan dipercayai dijual kepada industri berdekatan dengan harga murah,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi serbuan.
Tambah Norena, rampasan kali ini adalah yang terbesar dilakukan KPDNHEP Melaka setakat ini.
Beliau berkata, pihaknya merakam percakapan dua saksi yang merupakan penjaga gudang berkenaan berusia antara 25 hingga 30 tahun.
“Siasatan lanjut akan dilakukan untuk mengetahui bagaimana gudang tersebut boleh menyimpan baja bersubsidi dan gula dalam jumlah yang besar.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974,” jelasnya. –UTUSAN