GTA sasar bertanding 10 kerusi Parlimen di Kedah -

GTA sasar bertanding 10 kerusi Parlimen di Kedah

MUKHRIZ MAHATHIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Gerakan Tanah Air (GTA) menyasarkan untuk bertanding 10 daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

Timbalan Pengerusi Penajanya, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, pihaknya bagaimanapun masih membuat penilaian terhadap kerusi-kerusi untuk ditandingi, namun, kebanyakan kerusi di pinggir dan luar bandar yang ditandingi UMNO serta Pas.

“Dalam menentukan kerusi untuk ditandingi, kita menetapkan beberapa kriteria antaranya sentimen pengundi di kawasan tersebut terhadap suasana politik semasa, pendirian mereka mengenai GTA, jumlah ahli keseluruhan parti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menganggotai GTA serta adakah kita memiliki calon yang sesuai?

“Di Kedah ini ada beberapa kerusi yang rasanya belum diputuskan lagi sama ada akan bertanding atau tidak tetapi kerusi-kerusi Melayu di luar dan pinggir bandar menjadi sasaran kita yang kebanyakannya turut ditandingi UMNO dan Pas.

“Kita akan hadapi mereka. Setakat ini, sasarannya 10 daripada 15 kerusi Parlimen yang ada di Kedah tetapi di kerusi mana kami akan bertanding, itu saya pulangkan kepada ayahanda, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk umumkan,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di sini.

Mengulas lanjut, katanya, selain kerusi yang ditandingi UMNO dan Pas, ada juga kerusi-kerusi yang disasarkan untuk ditandingi itu sebelum ini dimenangi oleh Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH).

“Walaupun mungkin tidak seramai seperti dimiliki Pas dan BN, GTA sebenarnya memiliki jentera yang cukup di Kedah. Soal ramai atau tidak, itu tak menjadi masalah kerana dalam PRU-14 pun jentera kita sedikit daripada dimiliki BN, tetapi, kami bersama PH mampu memenangi kerusi Parlimen terbanyak.

“Berdasarkan pengalaman itu, saya rasa peluang untuk kita kalahkan UMNO dan BN di Kedah ini memang ada khususnya di kawasan mereka bertanding,” katanya.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata, kajian dijalankan pihaknya di Kedah mendapati ramai dalam kalangan pengundi yang lebih melihat kepada calon daripada parti untuk diberikan undi.

Perkara itu, katanya, boleh mendatangkan kelebihan dan kekurangan kepada GTA yang menggunakan lambang Pejuang iaitu sebuah parti baharu di kawasan-kawasan tertentu.

“Kalau pengundi utamakan calon, mereka takkan peduli sama ada kita ini parti baharu atau parti lama sebaliknya akan mengundi berdasarkan calon diketengahkan. Jadi, kalau kita letak calon yang betul, maka kita boleh dapat undi mereka.

“Namun, pada waktu sama jika ada parti yang sudah lama wujud letakkan calon dikenali, maka kita perlu berusaha lebih gigih untuk perkenalkan calon-calon kita,” katanya.

Begitu pun tambahnya, calon-calon yang bakal diketengahkan GTA nanti bakal terdiri daripada individu yang sememangnya sudah dikenali terutamanya dalam kalangan penduduk tempatan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya