PETALING JAYA: Walaupun berdepan persaingan dengan beberapa konsert lain pada 5 November ini, kumpulan popular Indonesia, Gigi yakin persembahan mereka tetap ditunggu-tunggu peminat kerana jualan tiket sangat memberangsangkan.
Malah, sekalipun bertembung dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) jika dilaksanakan pada tarikh sama, mereka yakin situasi itu tidak menghalang perjalanan konsert tersebut kerana ia diadakan pada waktu malam.
Armand selaku vokalis berkata, Gigi menjanjikan persembahan bertenaga dengan pilihan lebih 20 lagu hits dari album pertama mereka.
“Kami pasti akan mainkan banyak lagu sejak dari album pertama hingga album terakhir. Persembahan selama dua jam itu juga pasti membuatkan penonton sangat puas dan dekat dengan kami.
“Kali terakhir konsert kami di Kuala Lumpur adalah pada 2013, jadi kami sangat rindu untuk beraksi semula selepas pandemik Covid-19,” katanya semasa sidang akhbar secara dalam talian, sebentar tadi.
Ditanya elemen paling ‘nakal’ boleh dijanjikan semasa konsert, Armand berkata, selain lagu-lagu yang menjadi siulan peminat, penonton bebas untuk ‘nakal’ bersama mereka selagi mana ia berbentuk positif.
“Selain itu, kami memang ‘nakal’ dengan makanan Malaysia kerana sudah rindu dengan sate, nasi lemak dan nasi ayam,” kongsinya.
Sementara itu, penganjur konsert, Haniff Hamzah berkata, berbaki dua minggu lagi sebelum konsert diadakan, Gigi menjanjikan persembahan bertenaga yang mampu menaikkan adrenalin peminat.
“Gigi antara kumpulan pertama dari Indonesia yang pernah datang ke sini pada dekad 2000-an, sudah tentu saya yakin peminat tegar pasti beli tiket. Pada masa sama, kita juga berdoa penganjuran konsert lain dipenuhi penonton.
“Kita berharap semua penonton akan seronok dengan konsert di Zepp KL yang dilengkapi dengan kualiti pencahayaan, sistem bunyi dan visual yang sangat bagus. Kita mahukan penonton yang datang berasa dekat dengan Gigi,” ujarnya.
Gigi memasuki pasaran Malaysia menerusi lagu Terbang yang menjadi siulan ramai pada 1999, seterusnya mengukuhkan posisi mereka dengan barisan lagu hits seperti 11 Januari, Nakal, Pintu Sorga, Janji, Jomblo dan Andai.
Selain dikagumi kerana skil yang dimiliki oleh setiap anggota kumpulan tersebut, kemantapan Armand sentiasa memukau khayalak dengan vokal dan ‘showmanship’ hebat di pentas.
Kumpulan yang turut dianggotai Dewa Budjana (gitar), Thomas Ramdhan (bass) dan Gusti Hendy (dram) ini ditubuhkan pada 1994.
Sebelum ini, mereka pernah beraksi di Konsert Eksklusif bersama Gigi di Menara PGRM pada 2003, seterusnya muncul dalam Sunburst KL International Music Festival, berkongsi pentas bersama Incubus dan John Legend pada 2008.