JEMPOL: Peruntukan besar kepada Kementerian Kesihatan (KKM) yang berjumlah RM36.1 bilion akan digunakan untuk kerja-kerja menaik taraf fasiliti kesihatan dan klinik usang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia selari dengan aspirasi kesihatan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia sebagai satu keutamaan oleh kerajaan.
“Kerja-kerja menaik taraf fasiliti dan klinik kesihatan terutama yang telah usang dan diperbuat daripada kayu akan menggunakan peruntukan KKM seperti dibentangkan dalam belanjawan 2023 semalam.
“Peruntukan (naik taraf) itu bukan sahaja difokuskan di Semenanjung, sebaliknya di Sabah dan Sarawak,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Sembilan di Dataran Seri Jempol di sini hari ini.
Menurut Ismail Sabri, selain fasiliti kesihatan, kerajaan juga akan menggunakan peruntukan Kementerian Pendidikan Malaysia berjumlah RM55.6 bilion untuk menaik taraf sekolah-sekolah daif di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Ini menunjukkan Bajet 2023 bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Bersama’ tidak meminggirkan mana-mana kumpulan sama ada B49, M40 dan T20.
“Semua golongan dan segmen dalam rakyat mendapat faedah dan insentif daripada bajet yang dibentangkan,” katanya.
Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat membentangkan Bajet 2023 dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM372.3 bilion yang melibatkan RM272.3 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM95 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, daripada segi fasiliti, KKM akan memanfaatkan penggunaan peruntukan itu bagi pembaikan hospital dan klinik daif serta penggantian peralatan usang dengan keutamaan kepada fasiliti-fasiliti kesihatan di pedalaman Sabah, Sarawak, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan.
“Sebelum ini, saya sendiri turun padang dan melihat sendiri ada fasiliti kesihatan dan klinik usang yang diperbuat daripada kayu berusia lebih 50 tahun tetapi masih menawarkan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat,” katanya.
Mengulas mengenai Bajet 2023, Khairy berkata, peningkatan sebanyak 11.51 peratus peruntukan KKM pada tahun ini berbanding RM32.41 bilion pada 2022 membuktikan komitmen kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk memastikan sektor kesihatan negara dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
“Peruntukan yang dibentangkan semalam untuk sektor kesihatan bertepatan dengan usaha serta inisiatif Aspirasi Keluarga Malaysia dan Agenda Nasional Malaysia Sihat yang kita sambut hari ini,” katanya.
Dalam pada itu, KKM meletakkan sasaran 1.5 juta rakyat Malaysia berusia 40 tahun dan ke atas yang tidak pernah membuat pemeriksaan akan menjalani saringan kesihatan.
“Untuk Negeri Sembilan, kami menyasarkan sekurang-kurangnya 54,008 orang akan menjalani saringan kesihatan.
“Sehingga 6 Oktober 2022, seramai 5,904 orang telah menjalankan saringan kesihatan ini
“Daripada jumlah tersebut didapati 3,077 orang (52.1 peratus) telah pun disahkan menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD), 2,561 orang (43.4 peratus) mempunyai faktor risiko NCD seperti merokok, masalah berat badan, bacaan tekanan darah, paras gula dalam darah dan paras kolesterol yang tinggi serta 266 orang (4.5 peratus) adalah sihat,” katanya. –UTUSAN