Dua beranak yang maut dalam perjalanan ke HUSM -

Dua beranak yang maut dalam perjalanan ke HUSM

GAMBAR kenangan Fatin Hazlin Dahlia Mazlam bersama bayi istimewanya, Sayyid Uwais Al-Qarni Mohd. Lekman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Dua beranak yang maut dalam kemalangan jalan raya di Setiu, petang semalam dikatakan dalam perjalanan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan.

Fatin Hazlin Dahlia Mazlam, 30,  yang sarat hamil kembar itu membawa bersama bayi istimewanya, Sayyid Uwais Al-Qarni Mohd. Lekman, 10 bulan yang menderita penyakit sakit saraf untuk menerima rawatan susulan di hospital itu.

Ibu Allahyarham, Sharifah Suzi Suriani Sayed Anuar, 53, berkata, kebiasaannya, anak dan menantunya, Mohd. Lekman Zakaria, 36, serta tiga anak mereka akan bertolak pada seawal pukul  3 atau 4 pagi setiap kali ada temu janji dengan doktor di hospital tersebut.

“Namun, semalam mereka bertolak awal sehari sebelum temu janji (hari ini), mungkin mahu ambil kesempatan bawa anak-anak bersiar-siar di Kelantan.

“Saya sempat bertemu Allahyarham pada 12 tengah hari semalam ketika hadir di rumah kenduri jiran sekampung. Dia macam biasa, ceria sahaja dan saya sempat berbual mesra dengannya serta tiga cucu yang lain,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Batu Hampar dekat Manir di sini, hari ini.

Dalam kemalangan di Kilometer 83, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat Kampung Bintang, Setiu, pada pukul 4.40 petang itu, Fatin Hazlin Dahlia meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu, bayinya, Sayyid Uwais Al-Qarni pula meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Setiu. 

Kemalangan itu berlaku ketika Fatin Hazlin Dahlia memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza sebelum bertembung dengan sebuah treler tangki minyak.

Akibat pelanggaran itu, suami mangsa, Mohd. Lekman bersama-sama dua lagi anaknya, Nur Qaireen Luffiya, 5 dan Sayyid Lutfi, 7 turut mengalami kecederaan kini berada di HSNZ untuk mendapatkan rawatan susulan.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Muhammad Arsyad Syahiran Mohd Agil, 9 iaitu anak angkat pasangan itu yang juga cedera menerima rawatan ke Hospital Setiu.

Mengulas lanjut, Sharifah Suzi Suriani berkata, jenazah anak dan cucunya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Batu Hampar selepas Asar nanti.

“Kami sekeluarga reda dengan pemergian dua insan tersayang ini kerana mereka adalah orang yang baik, Allah jemput awal…terima kasih atas doa dan keprihatinan semua rakyat Malaysia terhadap anak dan cucu saya,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya