PUTRAJAYA: Pensyarah kanan di Jabatan Parasitologi Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Dr. Noraishah Mydin Abdul Aziz dicalonkan Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding di kerusi Parlimen Putrajaya.
Ketua Penerangan PKR Cabang Putrajaya, Syafiq Anwar Saidi berkata, Putrajaya adalah lokasi tepat bagi Dr. Noraishah untuk menabur khidmat bakti kepada masyarakat.
Beliau berkata, PKR dan PH Putrajaya menyambut baik kedatangan Dr. Noraishah ke Putrajaya.
“Dr. Noraishah Mydin adalah antara tokoh profesional berkelainan upaya (OKU) yang ditampilkan PH pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.
“Aktivis pesakit spina bifida itu berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ijazah Sarjana dalam bidang genetik serta melanjutkan pelajaran peringkat Doktor Falsafah dalam bidang bioteknologi perubatan (pengkhususan developmental neurobiology) di University of London.
“Pembabitan Dr. Noraishah di kampus memang tidak asing lagi, malah beliau banyak mengetengahkan isu-isu mengenai hak kebebasan akademik dan kebebasan bersuara mahasiswa,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, kehadiran beliau di Dewan Rakyat kelak amat penting bagi memastikan suara golongan OKU yang sebelum ini sentiasa dipinggirkan bakal didengari dan diwakili.
Syafiq berkata, pihaknya percaya dengan misi dan visi Dr. Noraishah yang jelas terhadap sistem perubatan Malaysia, hak-hak OKU dan masa hadapan Putrajaya.
Menurutnya, PH Putrajaya menyatakan komitmen dan bersedia untuk menggempur ke seluruh pelusuk Putrajaya bersama Dr. Noraishah.
Selain Dr. Noraishah, Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga penyandang empat penggal Parlimen Putrajaya dan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Radzi Jidin turut bertanding bagi merebut kerusi Putrajaya pada PRU-15 ini. –UTUSAN