DAP sasar tambah kerusi di Perlis 

DAP sasar tambah kerusi di Perlis 

ANTHONY Loke Siew Fook (empat dari kanan) memotong riben bersempena perasmian Pejabat DAP Perlis di Padang Besar, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: DAP berhasrat bertanding lebih daripada satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, buat masa ini, parti itu hanya mengesahkan untuk bertanding di DUN Titi Tinggi dan satu lagi kerusi akan ditentukan selepas rundingan dilakukan bersama komponen Pakatan Harapan (PH) di negeri ini.

Beliau berkata, kerusi tambahan berkenaan akan difokuskan di kawasan yang pernah ditandingi oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PRU14 lalu.

“Memang ada rundingan untuk bincang bersama komponen lain tentang pertambahan kerusi DUN buat DAP khususnya di kawasan yang pernah diwakili Bersatu sebelum ini, namun ia masih belum dimuktamadkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian pejabat DAP Perlis di sini hari ini.

Dalam PRU14, DAP bertanding satu kerusi DUN iaitu di Titi Tinggi, namun wakil parti berkenaan, Teh Seng Chuan tewas tipis dengan majoriti 142 undi kepada calon Barisan Nasional (BN), Teh Chai Aan dalam pertembungan empat penjuru.

Sementara itu, Anthony berkata, DAP berkeyakinan dapat menawan DUN Titi Tinggi pada PRU15 memandangkan wakil calon mereka sebelum ini hanya tewas tipis dengan majoriti 142 undi sahaja.

“Sekiranya DAP dapat menang di DUN Titi Tinggi, ia bakal menjadi sejarah buat parti ini yang setakat ini tidak mempunyai wakil di mana-mana kerusi dalam Perlis,” katanya.

Tambah Anthony, pihaknya juga telah meminta ahli dan pimpinan DAP di Perlis untuk bersiap-sedia sekiranya DUN negeri itu dibubarkan serentak dengan Parlimen.

“Sekiranya desas-desus pembubaran Parlimen menjadi kenyataan dalam beberapa hari ini, kami menjangkakan DUN Perlis juga akan turut terbubar, dan sudah tentu saya minta semua agar dapat buat persediaan untuk hadapi PRU15,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya