PETALING JAYA: Guru Sekolah Kebangsaan (1) Gombak, Mohd. Fadli Salleh yang menerima surat berdepan tindakan buang kerja atau turun pangkat tekad untuk membela diri melalui tindakan undang-undang dan menggunakan wang sendiri.
Justeru, Mohd. Fadli menegaskan, beliau juga tidak berhasrat membuka sebarang tabung bantuan untuk menghadapi tindakan undang-undang sama ada melibatkan kos guaman mahupun mahkamah.
“Saya tak ada buka apa-apa tabung. Kewangan saya masih stabil dan mampu untuk bayar kos peguam dan mahkamah setakat hari ini.
“Masa depan saya tak pasti lagi. Sebab saya masih ingat masa dipanggil ke Unit Aduan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor beberapa tahun lepas, pegawai En. Zul ada berkata ‘Cikgu pasang peguam macam mana pun, susah nak menang. Kerajaan ada peguam mereka sendiri dan antara taktik mereka ialah melengah-lengahkan perbicaraan sampai bertahun-tahun lamanya. Sampai duit cikgu habis dan terpaksa mengalah’. Itu yang beliau bagi tahu saya.
“Jika teknik ini mereka guna terhadap saya sehingga saya tak mampu bayar kos guaman dan mahkamah, mungkin masa tu saya perlu bantuan kawan-kawan. Namun, untuk setakat ini, semua masih dalam kawalan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, Mohd. Fadli mengingatkan ahli politik tanpa mengira mana-mana parti politik untuk tidak menggunakan isu yang dihadapi beliau sebagai modal politik.
“Umum tahu saya tak pernah berpolitik dan tak pernah mendaftar sebagai ahli mana-mana parti politik. Nak bantu sama-sama perjuangkan, silakan. Namun nak jadikan sebagai senjata dan modal politik, saya tak akan bersama kalian,” ujarnya.
Terdahulu, Mohd. Fadli mendakwa dirinya berdepan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat daripada Kementerian Pendidikan dipercayai dengan alasan sering menegur berkaitan isu persekolahan.
Antara permasalahan yang dibangkitkan membabitkan silibus ‘kayangan’ tahun 1 terutamanya berkaitan subjek Matematik, jadual padat dan isu beg sekolah berat.
Susulan itu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin sedia untuk mengadakan pertemuan dengan Mohd. Fadli bagi mengetahui lebih lanjut berhubung perkara yang dibangkitkan guru tersebut.
Bagaimanapun, Mohd. Fadli mempersoalkan keprihatinan Dr. Radzi yang baru timbul sedangkan beliau sudah lama memperjuangkan isu berkaitan sekolah sejak sekian lama.
“Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin juga ada tag saya. Nak jumpa bincang isu yang saya sebut katanya. Baru malam ini beliau respon sedangkan saya berkali-kali tag beliau sebelum ini, saya komen di hantaran beliau, saya komen di page Kementerian Pendidikan merujuk pada beliau sejak bertahun lamanya. Tak pernah beliau respon walau sekali. Baru malam ini ada respon.
“Kenapa agaknya baru malam ini? Bukan masa saya dipanggil unit integriti tahun lepas? Bukan masa saya tag dan komen pada hantaran beliau dan hantaran Kementerian Pendidikan berkali-kali sejak bertahun lama?.
“Agaknya setelah melihat kebangkitan rakyat yang terlalu kuat, baru Yang Berhormat (Radzi) terus respon nak jumpa saya. Apa pun alasannya, tak apalah. Saya bersangka baik Yang Berhormat cuba memahami denyut nadi dan luahan akar umbi,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd Fadli memohon maaf kepada mana-mana media yang menghubungi beliau untuk menemu bual.
Katanya, ini kerana beliau masih penjawat awam dan tertakluk kepada peraturan-peraturan penjawat awam.
“Saya tak boleh bersiaran atau mengeluarkan kenyataan pada pihak media tanpa kelulusan Kementerian Pendidikan,” jelasnya. –UTUSAN