SHAH ALAM: Semua parti politik dan bakal calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disaran untuk belajar dan memahami kesalahan-kesalahan pilihan raya khususnya berkaitan aktiviti kempen pilihan raya yang berunsur rasuah.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, elemen salah guna kuasa yang digariskan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (AKPR 1954) dan Akta Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) turut perlu difahami oleh bakal calon.
“Peruntukan yang diperlukan sudah wujud dalam undang-undang sedia ada bagi membolehkan SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan tegas terhadap amalan rasuah dan salah guna kuasa menjelang PRU-15 ini.
“AKPR 1954 menyatakan dengan jelas semua bentuk kesalahan rasuah dan salah guna kuasa iaitu Seksyen 8 (penjamuan), Seksyen 9 (pengaruh tidak wajar), Seksyen 10 (rasuah) semasa atau selepas tempoh pilihan raya,”katanya dalam satu kenyataan.
Jais berkata, akta terbabit memperuntukkan hukuman yang berat termasuk boleh dipenjara hinggalah hilang kelayakan sebagai wakil rakyat dan hak mengundi.
Katanya lagi, hukuman berkaitan jika dikuatkuasakan akan menakutkan bakal-bakal calon pilihanraya.
“Kerana hukuman tersebut boleh menjejaskan masa depan ahli politik yang melakukan kesalahan tersebut,” ujarnya. –UTUSAN