PUTRAJAYA: Bulatan di sebelah Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Presint 3 di sini tidak dapat diperakui sebagai paling kecil di Malaysia kerana belum ada lagi permohonan dibuat.
Perkara tersebut disahkan Perunding Rekod Kanan Malaysia Book of Records (MBR), Edwin Yeoh sebagai merujuk laporan Utusan Malaysia baru-baru ini mengenai perkara berkenaan.
Ketiadaan permohonan baharu itu terus menyaksikan Bulatan Baiduri di Jalan 222, Petaling Jaya, Selangor terus kekal memegang rekod sebagai jalan bulatan paling kecil di negara ini.
“Setakat ini, pihak kami (MBR) belum menerima sebarang permohonan baharu untuk cabar rekod yang sedia ada termasuk dari Perbadanan Putrajaya (PPj),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Utusan Malaysia pada 7 Oktober lalu melaporkan kewujudan bulatan bersebelahan masjid ikonik tersebut yang dibina pada 2009 lalu untuk kemudahan pengunjung melalui jalan di situ.
Ketika itu, Putrajaya sudah pun memiliki bulatan paling besar di dunia iaitu Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang dibuka pada 1997 di pusat pentadbiran kerajaan tersebut.
Mengulas lanjut, Edwin berkata, meskipun pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah menghapuskan Bulatan Baiduri untuk dijadikan persimpangan lampu isyarat, rekod itu kekal.
“Ia hanya akan berubah apabila ada pihak lain yang tampil mengemukakan rekod baharu bagi memecah rekod lama yang dipegang oleh MBPJ sejak awal dekad 2000-an itu,” jelas beliau.
Bagaimanapun ujarnya, pihak PPj perlu bersaing dengan Bulatan Caunter Hall di Georgetown, Pulau Pinang yang secara kebetulan juga memiliki saiz ukur lilit hampir sama iaitu dua meter.
Malangnya, sama seperti PPj, pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang turut tidak pernah memohon perakuan dari MBR untuk menyandang rekod bulatan terkecil berkenaan setakat ini.
Sedangkan dari sudut fakta sejarah, bulatan tersebut dipercayai sudah pun lama wujud ketika zaman penjajahan British lagi sebelum negara ini mencapai kemerdekaan pada 1957 lalu.
Bulatan itu yang didakwa asalnya agak besar sebelum terpaksa dikecilkan bagi membolehkan bas awam dapat berpusing lancar memasuki arah Jalan Terengganu dan Jalan P. Ramlee. –UTUSAN