JOHOR BAHRU: Johor diyakini kembali menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Timbalan Pengerusi BN Johor, Datuk Nur Jazlan percaya gelombang kebangkitan UMNO dan BN akan kembali berlaku di Johor, sama seperti yang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lalu.
“Jentera kami bersedia untuk PRU15 sejak PRN lalu yang merupakan medan ujian yang baik untuk kami. Memang akan ada sedikit perubahan kecil dalam jentera, tetapi secara keseluruhan kami sudah bersedia.
“Kita akan pastikan BN Johor dapat meneruskan kejayaan cemerlang dan mendapat kemenangan besar dalam PRU15 kelak,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.
Nur Jazlan yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor mengalu-alukan pengumuman pembubaran Parlimen itu, sekali gus memberi laluan bagi PRU15 diadakan dalam tempoh 60 hari.
Sementara itu, Nur Jazlan masih tidak memberi kata putus sama ada beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Pulai pada PRU15 atau tidak.
Pada PRN Johor lalu, BN berjaya memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, sekali gus menubuhkan kerajaan negeri baharu. –UTUSAN