SUNGAI SIPUT: Barisan Nasional (BN) Perak menyasarkan sekurang-kurang 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 15 kerusi Parlimen untuk dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jumlah itu mampu dicapai berdasarkan prestasi semasa dan sokongan pengundi pada dua Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.
Menurut beliau, rakyat juga diyakini mampu membuat pilihan tepat dan rasional agar sebuah kerajaan stabil dapat dibina.
“Pada tahun 2018 (PRU14), BN adalah parti tunggal yang menang 27 kerusi DUN di Perak. Ketika itu belum ada Pakatan Harapan (PH) secara rasmi, hanya gabungan parti-parti pembangkang yang didominasi DAP dengan 18 kerusi, diikuti Amanah (6), PKR (3) dan Bersatu (1) dengan keseluruhan ada 29 kerusi
“Malah, sejarah pada tahun 2013 (PRU13) memperlihatkan UMNO menang 30 kerusi DUN manakala satu kerusi DUN dimenangi MCA, menjadikan 31 kerusi DUN pada waktu itu.
“Saya yakin kita boleh ulangi perkara yang sama sebab rakyat telah pun mempelajarinya. Mereka faham apa pun hujah yang disampaikan mana-mana pihak, mereka akan buat keputusan berdasarkan keinginan untuk ada kerajaan yang kuat dan stabil,” kata beliau selepas Majlis Sambutan Deepavali 2022 di Dewan Konvensyen Tun Samy Vellu di sini semalam.
Mengulas lanjut, menurut beliau, pihaknya juga yakin BN akan menambah bilangan kerusi Parlimen di negeri ini selepas merekodkan 12 kerusi Parlimen pada PRU14.
Katanya, tambahan tiga kerusi Parlimen disasarkan menjadi milik parti tersebut iaitu Tanjung Malim, Lumut dan Tambun.
“Kita pernah menang 12 kerusi Parlimen sebelum Bukit Gantang, Larut dan Bagan Serai yang tidak mempunyai kekuatan diri (lompat parti) setelah kita tidak lagi menjadi kerajaan.
“Saya juga yakin kita boleh (mendapat kembali) Parlimen Lumut, Tambun dan Tanjung Malim dan mungkin Parlimen lain.
“Ia bukan perkara mustahil kerana pengundi ini sangat dinamik dan saya percaya pengundi baharu akan buat keputusan yang betul,” katanya. – UTUSAN