SEREMBAN: Belum ada sebarang ketetapan untuk bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menjadi calon mewakili Gerakan Tanah Air (GTA) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Rembau.
Pengerusi GTA Negeri Sembilan, Zamani Ibrahim berkata, situasi juga sama kepada penerbit dan pengarah filem terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang dikatakan akan diletakkan sebagai calon di Parlimen Port Dickson.
Bagaimanapun, Zamani mengesahkan, kedua-dua nama popular tersebut berada dalam senarai calon yang akan diketengahkan oleh GTA Negeri Sembilan dalam satu daripada lapan kerusi Parlimen yang akan ditandingi GTA.
“Belum tentu, cuma adakah nama mereka (Abdul Hamid dan Ahmad Idham) disenaraikan? ya betul, nama mereka termasuk dalam senarai calon itu, kami sedang mengumpulkan lagi dan setakat ini, kami ada 20 nama calon yang boleh diketengahkan.
“Dua nama itu akan bersaing dengan calon lain yang saya rasa tidak kurang hebatnya. Kesemua parti dan NGO di bawah GTA sudah menghantar nama yang kemudian akan dilihat latar belakang dan sebagainya, seterusnya dipilih menjadi calon GTA.
“Mereka (calon) mesti berjiwa besar jika terpilih, mereka mesti muncul sebagai calon GTA dan bersedia di mana-mana (Parlimen) untuk diposisikan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini akhbar ini melaporkan pengesahan oleh Timbalan Pengerusi GTA Negeri Sembilan, Mohamad Jani Ismail bahawa Abdul Hamid sebagai calon yang boleh diketengahkan GTA di Parlimen Rembau pada pilihan raya umum kelak.
Beliau yang juga Ketua Majlis Pimpinan Negeri, Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) Negeri Sembilan turut berkata, Ahmad Idham turut hampir pasti diletakkan sebagai calon GTA di Parlimen Port Dickson.
Sementara itu, Zamani yang juga Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) berkata, GTA Negeri Sembilan juga telah membuat keputusan untuk bertanding di kesemua lapan kerusi Parlimen yang ada di negeri ini.
“Kami buat pemetaan dan bersetuju untuk bertanding di lapan kerusi Parlimen dan tidak tinggalkan walaupun satu Parlimen.
“Kesemua kerusi ditandingi atas tiket GTA yang menggunakan logo Pejuang. Tiada mana-mana kerusi dikatakan adalah milik Pejuang, Berjasa atau yang lain-lain, semuanya adalah kerusi GTA,” katanya lagi. –UTUSAN