PUTRAJAYA: Kementerian Luar menegaskan belum ada bukti yang menunjukkan terdapat rakyat Malaysia maut dalam insiden rempuhan di Seoul kelmarin.
Menerusi kenyataan rasmi hari ini, Wisma Putra masih bekerjasama dengan pihak berkuasa Korea Selatan untuk menyemak perkara itu.
“Kami masih dalam usaha untuk memastikan kesahihan berkaitan dakwaan konon terdapat warga Malaysia yang terkorban dalam insiden ini yang tular menerusi media sosial,” jelasnya.
Sejak semalam, netizen tempatan gempar dengan hantaran yang memaparkan ada rakyat Malaysia maut dalam peristiwa berdarah bersempena sambutan Halloween di Itaewon, Seoul.
Insiden yang meletus kira-kira pukul 10.15 malam (9.15 malam waktu Malaysia) pada Sabtu itu meragut 154 nyawa apabila lebih 100,000 orang bersesak membanjiri kawasan tersebut.
Setakat ini, seramai 154 mangsa terbunuh akibat sesak nafas ditolak dari kumpulan individu di laluan belakang dengan 128 orang daripadanya merupakan penduduk Korea Selatan sendiri.
Sementara 26 warga asing maut dengan paling ramai dari Iran iaitu lima orang, diikuti China dan Rusia yang masing-masing empat serta Jepun dan Amerika Syarikat masing-masing dua, manakala selebihnya melibatkan masing-masing seorang rakyat dari Australia, Austria, Kazakhstan, Norway, Perancis, Sri Lanka, Thailand, Uzbekistan dan Vietnam.
Halloween merupakan acara keramaian masyarakat Kristian di Barat pada akhir Oktober setiap tahun bagi memperingati mereka yang sudah pun mati dengan memakai kostum tertentu.
Mengulas lanjut, Wisma Putra memberi jaminan bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Seoul sentiasa memantau rapat dengan pihak berkuasa tempatan berhubung isu tragedi berkenaan.
“Warga Malaysia yang memerlukan bantuan konsular atau maklumat terkini mengenai kejadian buruk itu boleh menghubungi pihak kedutaan menerusi saluran yang disediakan,” katanya.
Canseri Malaysia yang ketika ini ditempatkan sementara di Hotel Four Seasons susulan bangunan kedutaan sedang diubah suai, juga boleh dihubungi melalui talian +8210 8974 8699.
Dianggarkan terdapat lebih 5,000 warga Malaysia di Korea Selatan dengan hampir 1,000 orang daripadanya menuntut di pelbagai universiti di negara itu. – UTUSAN