SHAH ALAM- Kerajaan Selangor akan membentangkan Belanjawan Selangor 2023 sebaik sahaja Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selesai.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara tersebut dibuat setelah mengambil kira ramai kakitangan kerajaan negeri yang akan terlibat dalam kerja-kerja menguruskan proses pengundian.
“Ada pegawai kita yang terlibat sebagai pegawai pengurus pilihan raya, sebagai timbalan pengurus pilihan raya, anggota di pusat pengundian.
“Jadi saya mahu pegawai yang terlibat fokus dahulu dengan tugas mereka ketika PRU15 dan selepas itu, baru kita fokus bagi pembentangan Belanjawan Selangor 2023,” katanya selepas menghadiri majlis penutupan latihan dan kursus Serve Rescue di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam, di sini, hari ini.
Amirudin berkata, belanjawan negeri dijangka dibentangkan pada 25 November dan akan meminta Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ng Suee Lim memohon penangguhan itu secara bertulis kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Oleh demikian, beliau berharap tidak ada pihak yang akan mempolitikkan perihal penangguhan pembentangan belanjawan itu memandangkan PRU15 diadakan dalam tempoh yang dekat pada tarikh kebiasaan Belanjawan Selangor dibentangkan.
Sementara itu, Amirudin memaklumkan bahawa pasukan sukarelawan Serve Rescue kini bersedia membantu pasukan penyelamat bagi melakukan kerja-kerja menyelamat banjir sekiranya diperlukan.
“Apa yang penting ketika ini adalah memberikan latihan asas kepada anggota Serve supaya mereka dapat menjalankan tugas dalam keadaan selamat ketika menjalankan kerja menyelamat,” ujarnya. – UTUSAN