JERANTUT: Seorang peniaga di sini tetap menjual nasi lemak dengan harga RM1 sebungkus walaupun terpaksa berdepan kenaikan harga barangan semata-mata untuk beramal jariah membantu pelanggan yang kurang berkemampuan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, peniaga terbabit, Zulkifli Nordin, 43, berkata, dia tidak risau dengan pendapatannya antara RM150 hingga RM200 sehari kerana hasil jualan itu masih mencukupi untuk modal berniaga hari berikutnya.
Beliau yang berjaja berdekatan Balai Bomba Jerantut di sini berkata, setiap hari dia dan isteri, Sarina Samsudin menyediakan antara 150 hingga 200 bungkus nasi lemak sehari.
“Separuh hasil jualan masih cukup untuk menyediakan modal belanja bagi perniagaan hari berikutnya, malah kadang-kadang mampu tampung (modal) selama dua hari.
“Alah bisa tegal biasa. Sudah hampir dua tahun saya berniaga nasi lemak RM1 cukup untuk modal dan selebihnya mampu belanja keperluan dapur dan kebajikan keluarga,” katanya di sini semalam.
Bercerita lanjut kenapa dia memilih menjual nasi lemak RM1, Zullkifli menjelaskan perasaan kasihan kepada orang ramai (pelanggan) yang hidup susah termasuk dirinya sendiri yang diberhentikan kerja sebagai juruteknik kilang akibat pandemik Convid-19 meruntun hatinya untuk menjual dengan harga yang murah.
Jelasnya, nasi lemak RM1 dijualnya hanya diletak ikan bilis, timun dan kacang dan cukup mengenyangkan sesuai untuk pelbagai peringkat usia ketika selesa bersarapan.
“Ramai pelanggan berbelanja pada waktu pagi dan biasanya kira-kira 150 bungkus sehari laku dalam tempoh antara pukul 7.30 pagi hingga 9 pagi setiap hari,” katanya.
Namun tambah Zulkifli, sejak awal tahun ini ramai pelanggan meminta dia menyediakan nasi lemak RM2 ditambah telur dan mengekalkan bahan lain yang sedia ada.
Dia yang berniaga seawal pukul 7.30 pagi berkata, sejak permintaan pelanggan, dia dan isteri menyediakan sebanyak 200 bungkus nasi lemak berharga RM1 dan 80 bungkus dijual RM2.
“Saya akan terus mengutamakan jualan nasi lemak RM1 dan bercita-cita untuk membeli trak makanan tetapi masih belum cukup wang untuk membesarkan perniagaan berkonsepkan ‘cafe vintage’ dengan jualan makanan tambahan seperti kopi ‘O’ dan mi rebus yang dipelajari daripada warisan ibu mertua,” katanya.
Dermawan dan pihak tertentu yang ingin membantu Zulkifli membesarkan perniagaannya boleh menghubunginya menerusi talian 0179986418. –UTUSAN