KOTA BHARU: Bekas jurulatih pasukan bola sepak remaja kebangsaan, Nik Abdul Aziz Nik Mohamed dinobatkan sebagai juara Pertandingan Seni Instalasi Orang-Orangan di Kota Seribong di sini, hari ini.
Nik Abdul Aziz yang menghasilkan patung Orang-Orangan bertemakan sawah pagi menggunakan barang terbuang seperti Zink, jerami, jam dan banyak lagi itu dinobatkan sebagai juara kategori perseorangan yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000 .
Nik Abdul Aziz berkata, dia sama sekali tidak menyangka akan dipilih sebagai pemenang memandangkan kesemua peserta yang menyertai pertandingan itu mempunyai kelebihan masing-masing.
Menurutnya, sebelum memasang patung Orang-Orangan itu, dia terlebih dahulu membuat persiapan dengan menghiasnya di rumah sebelum dibawa untuk pameran.
“Saya menyambut baik usaha ini dan pada masa sama ia mampu memupuk orang ramai supaya memanfaatkan barangan terpakai dengan sebaik mungkin,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Seniman dan Warisan Kelantan, Azman Daud memberitahu, sebanyak 420 patung Orang-Orangan yang direka oleh 40 ahlinya menyertai pertandingan tersebut.
Katanya, penganjuran itu bertujuan mendedahkan kepada generasi muda berkait dengan penggunaan patung Orang-Orangan ini pada zaman dahulu yang digunakan untuk menghalau musuh tanaman dan sebagainya. –UTUSAN