Banjir di Baling, Kuala Muda pulih - Utusan Malaysia

Banjir di Baling, Kuala Muda pulih

PPS Kompleks Rakan Muda yang telah ditutup berikutan kesemua 149 mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas keadaan banjir pulih di Baling, Kedah hari ini. -UTUSAN/NORLIA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka di Kompleks Rakan Muda, di sini ekoran banjir kilat yang melanda empat mukim di Baling, semalam ditutup sepenuhnya pada pukul 1 petang ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd. Faizol Ab. Aziz berkata, penutupan itu diumumkan oleh Pegawai Daerah Baling, Mohd. Shahadan Abdullah berikutan banjir dan air Sungai Ketil serta Sungai Kupang telah surut.

“Seramai 149 mangsa daripada 46 keluarga di empat mukim berkenaan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing untuk membersihkan kesan-kesan banjir. PPS dibuka semalam untuk menempatkan mangsa-mangsa yang rumah mereka ditenggelami air selain bimbang keselamatan mereka,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, keadaan cuaca hari ini agak baik walaupun masih mendung dan berharap mangsa-mangsa banjir dan penduduk yang tinggal berdekatan kawasan risiko peka dengan keadaan semasa dan sentiasa bersiap sedia.

Mereka juga diminta agar membawa atau menyimpan dokumen penting di tempat yang selamat dan segera berpindah sekiranya air sungai dan kawasan sekeliling rumah dinaiki air.

“Jangan tunggu sehingga air banjir naik tinggi baru kelam-kabut hendak melarikan diri, segeralah bertindak agar semuanya terpelihara daripada musibah dan bencana yang boleh mengancam nyawa dan keselamatan diri.

“Pihak APM juga sentiasa membuat pemantauan berkala di kawasan-kawasan hotspot seperti di Kampung Iboi, Kampung Lubuk Pedati dan Kampung Charuk Shikin bagi memudahkan tindakan dilakukan sekiranya banjir berulang,” katanya.

Sementara itu, di Sungai Petani, keadaan banjir kilat di tiga buah mukim di daerah Kuala Muda juga kembali pulih susulan air banjir sudah mulai surut sejak petang semalam.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azhar Ahmad berkata, tiga buah mukim yang dilanda banjir kilat adalah di Mukim Sungai Petani, Mukim Gurun dan Mukim Sidam Kiri.

Beliau berkata, kampung yang terlibat adalah Kampung Air Mendidih, Kampung Haji Wahab, Kampung Bukit Belah, Kampung Sungai Bongkok dan Kampung Jerung.

Katanya, seramai 43 buah keluarga membabitkan 179 mangsa telah terjejas akibat banjir kilat selepas hujan lebat lebih sejam pada awal pagi semalam.

“Bagaimanapun berdasarkan laporan setakat pukul 1 petang ini, status semasa paras air banjir ketika ini sudah surut. Tiada PPS yang dibuka di daerah ini setakat ini,” jelasnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya