PETALING JAYA: Kerajaan bercadang memperuntukkan RM20 juta untuk menyelenggara Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara dan menubuhkan dua lagi UTC baharu.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, inisiatif itu kerana UTC memudahkan rakyat dalam mendapatkan pelbagai perkhidmatan kerajaan di satu tempat.
Katanya, peruntukan itu juga supaya UTC diberi nafas baharu dan ditransformasi dengan perkhidmatan digital dan bagi memastikan manfaat terus dirasai oleh Keluarga Malaysia.
“Sementara itu, kerajaan melalui MDEC akan mempelopori usaha mentransformasi UTC sebagai hab digital antaranya urus niaga di UTC akan dijalankan secara tanpa tunai di samping menggalakkan pelbagai aktiviti digital seperti e-sukan dan pengekodan untuk manfaat belia setempat.
“Bagi membantu golongan penganggur menerusi padanan pekerjaan, kerajaan akan membangunkan 13 Pusat Satelit MYFutureJobs di UTC seluruh negara dengan peruntukan RM8 juta.
“Selain itu, HRD Corp dan PERKESO juga akan menubuhkan National Placement Centre di Lembah Klang sebagai pusat sehenti yang membantu rakyat mendapatkan pekerjaan,” katanya. –UTUSAN