Baiah atas nama Allah calon PRU kekal jadi dasar Pas -

Baiah atas nama Allah calon PRU kekal jadi dasar Pas

DR. Nik Muhammad Zawawi Salleh (tengah) menyampaikan agihan buah nanas percuma sumbangan LPNM kepada kumpulan sasaran di Pasir Puteh, Kelantan, hari ini.-UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Baiah dan bersumpah dengan nama Allah kekal menjadi dasar wajib Pas ke atas mana-mana calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, lafaz itu merupakan perjanjian pemimpin kepada rakyat dan amanah untuk dipikul sama ada menang dalam PRU-15 atau sebaliknya.

“Sekali pun kalah dalam pilihan raya, calon yang bersumpah wajib bertanggungjawab dan berkhidmat kepada rakyat di kawasan masing-masing. Kita tidak mahu ada kekhilafan berlaku selepas diangkat sebagai pemimpin atau menghadapi kekalahan selepas pilihan raya.

“Bila tidak menang PRU-15 bukan alasan untuk tidak cakna dan tidak mendekati rakyat. Ia perlu diberi perhatian serius bakal calon Pas sebab lafaz baiah itu mencakupi  perjanjian kepada rakyat dan berjanji dengan Allah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Promosi Makan Buah Nanas Segar anjuran Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Kelantan di sini hari ini.

Semalam, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam hantaran di akaun Facebooknya menulis berbaiah itu sebagai janji setia terhadap parti dan bersumpah dengan nama Allah SWT untuk tidak menyeleweng dan mengkhianati amanah apabila menjadi pemimpin.

Nik Muhammad Zawawi memberitahu, calon Pas tidak boleh mengabaikan tanggungjawab membantu dan membela rakyat  walaupun mereka tidak berjaya mempertahankan kerusi masing-masing pada PRU15 nanti. 

“Apabila kita ceburi politik, kita mesti mendampingi rakyat, kena tahu masalah dan kena tolong sekadar yang kita mampu. Kalau kita menang (kerajaan),  kita boleh tolong banyak, kalau kita tidak kerajaan (kalah) kita tolong sekadar yang kita mampu,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya