IPOH: Penyandang kerusi Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berharap akan dapat terus kekal di kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum-15 (PRU15).
Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, dia menolak sekiranya dicalonkan di kerusi Parlimen lain.
“Saya bersedia untuk bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Serai jika dipilih dan saya hanya akan bertanding di kerusi parlimen itu sahaja, kerusi lain saya tidak mahu.
“Saya sudah turun padang sejak saya menang pada tahun 2013. Sudah sembilan tahun saya di situ, sebenarnya, saya tak pernah berehat lagi, sentiasa bersama rakyat dalam suasana suka duka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Istiadat Konvokesyen 2022 Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) di Dewan Seri Perdana ILKKM Sultan Azlan Shah di sini hari ini.
Walau bagaimanapun, Noor Azmi akur dengan keputusan pimpinan parti sekiranya tidak dicalonkan semula bertanding pada PRU15.
“Sekarang, kita sedang menunggu keputusan daripada pucuk kepimpinan parti, senarai nama pun belum keluar lagi.
“Terserah kepada pucuk kepimpinan. Sesiapa yang akan dicalonkan nanti rakyat yang bakal membuat keputusan. Rakyat jadi hakim,” katanya.
Menurutnya, tanggungjawab sebagai wakil rakyat adalah memberi perhatian kepada pengundi-pengundi dalam apa jua keadaan secara berterusan dan bukannya bermusim.
“Pilih wakil rakyat yang memberi perhatian kepada rakyat dalam apa jua suasana. Masa susah dan masa bencana bersama, bukannya buat kerja bermusim,” katanya.
Pada PRU14, Noor Azmi memenangi kerusi Parlimen Bagan Serai mewakili Barisan Nasional (BN) dalam persaingan tiga penjuru dengan Pas dan PKR.
Namun, kemudiannya beliau mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas sebelum menyertai Bersatu. – UTUSAN