PUTRAJAYA: Yayasan Kebajikan Negara (YKN) menubuhkan Anjung Kasih YKN di Balai Pelawat Hospital Cyberjaya bagi membantu meringankan beban keluarga pesakit yang memerlukan penginapan ketika berada di hospital.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, Anjung Kasih yang ke-19 itu menyediakan pelbagai kemudahan secara percuma antaranya bilik penginapan lengkap dengan katil dan almari pakaian selain ruang rehat, televisyen, ruang makan serta surau.
“Saya membuat lawatan ke Hospital Cyberjaya yang baru siap dibina. Alhamdulillah, semua fasiliti dan kelengkapan disusun atur dengan baik dan sedia digunakan menjelang hari pembukaan rasmi 11 November ini.
“Balai Pelawat Hospital Cyberjaya akan dinaik taraf menjadi Anjung Kasih @yayasankebajikannegara (YKN),” katanya menerusi laman Instagram rasminya, semalam.
Menurut Rina, Anjung Kasih YKN merupakan inisiatif khas untuk menyediakan tempat penginapan sementara kepada waris yang kurang berkemampuan, tinggal di kawasan luar bandar dan menghadapi masalah pengangkutan untuk menemani ahli keluarga yang sedang menerima rawatan di hospital.
Jelas beliau, dalam lawatan yang sama, beliau berkesempatan meninjau wad bersalin dan wad pediatrik dilengkapi dengan teknologi serta kelengkapan terkini bagi kemudahan dan keselesaan pesakit serta para kakitangan hospital untuk memberi perkhidmatan kesihatan.
Rina turut merakamkan penghargaan kepada jabatan dan agensi kerajaan terutamanya Kementerian Kesihatan dalam membangunkan hospital berkenaan sekali gus memberi manfaat penduduk sekitar. –UTUSAN
Caption:
RINA Harun ketika lawatan ke Hospital Cyberjaya.