Alami masalah penglihatan tidak halang Nur Nilam Sari tamat

Alami masalah penglihatan tidak halang Nur Nilam Sari tamat pengajian

NUR Nilam Sari Azimi menunjukkan Sijil Pengembaraan dan Pelancongan yang diterimanya pada Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Sembilan dan Melaka di Dewan Tuanku Canselor, USIM Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Walaupun mengalami masalah penglihatan di sebelah mata kanannya sejak berusia tiga tahun, ia tidak menghalang graduan Kolej Komuniti Tangga Batu, Melaka, Nur Nilam Sari Azimi, 21, untuk menamatkan pengajiannya dalam Sijil Pengembaraan dan Pelancongan.

Menurut anak bongsu daripada lima beradik itu,  dia mengalami masalah penglihatan selepas tertusuk senjata tajam ketika kecil dan sejak itu dia tidak melihat menggunakan mata di sebelah kanan.

“Cabaran saya adalah semasa belajar saya kerap mengalami sakit kepala apabila melihat komputer riba dalam masa yang agak lama dan terpaksa menggunakan cermin mata.

“Alhamdulillah, saya berjaya menamatkan pengajian dan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.86 bagi tiga semester. Sepanjang melanjutkan pelajaran pensyarah dan rakan-rakan banyak membantu saya termasuk membenarkan saya duduk di bahagian depan. 

“Saya ketika ini sedang menceburi bidang perniagaan spa bergerak bersama rakan saya sebelum melanjutkan pelajaran di politeknik dalam bidang pelancongan nanti,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Sembilan dan Melaka di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai hari ini. 

Dalam pada itu, seramai 825 orang graduan Diploma dan Sijil dari 11 buah Kolej Komuniti Negeri Sembilan dan Melaka diraikan dalam majlis berkenaan.

Pengarah Kanan (Kompetensi) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Roslee Yahaya berkata, graduan yang dihasilkan Kolej Komuniti berkualiti dan mendapat permintaan tinggi di pasaran berikutan kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 94.8 peratus.

“Berdasarkan Laporan Pengesanan Graduan tahun lalu, sebanyak 15.2 peratus graduan Kolej Komuniti berjaya menjadi usahawan. Perkembangan positif ini dapat dilihat berdasarkan statistik tahun 2020 iaitu hampir 50,000 usahawan dalam kalangan pelajar berjaya dibentuk. 

“Daripada jumlah itu, lebih 7,000 graduan masih meneruskan kerjaya sebagai usahawan selepas menamatkan pengajian. Selain itu, Kolej Komuniti komited dalam menyahut seruan kerajaan untuk menghasilkan lebih ramai pekerja mahir. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya