KOTA BHARU: Air Kelantan Sdn. Bhd (AKSB) menjelaskan masalah gangguan bekalan air di Machang Limbat yang dibangkitkan oleh seorang wanita menerusi akaun TikTok sehingga tular berpunca daripada tekanan bekalan yang kurang stabil.
Pengurus Besarnya, Datuk Ir Dr. Azuhan Mohamed berkata, Machang Limbat merupakan lokasi hujung bagi District Metered Area (DMA) Pasir Tumbuh yang mendapat bekalan air dari Loji Rawatan Air (LRA) Chicha melalui Tangki Kubang Kerian.
Menurutnya, mengikut maklumat dari pengurus jajahan itu, tekanan air di kawasan tersebut adalah sekitar 3 hingga 6mh terutama ketika pengeluaran air kurang stabil dan semasa bekalan konsisten ke tangki Kubang Kerian, ia boleh mencapai pada 28 sehingga 31 air bersih tambahan sehari (mld).
“Sekiranya berlaku gangguan bekalan air, premis di kawasan hujung akan terkesan terlebih dahulu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini selepas menjawab tindakan seorang wanita yang berkongsi keluhan berkaitan masalah air di akaun TikTok miliknya yang dinamakan sebagai Schavivien sehingga tular semalam.
Azuhan memberitahu, hasil tinjauan dan pemeriksaan lanjut yang dilakukan semalam mendapati bekalan air telah ada dan dapat digunakan secara normal seperti biasa.
Katanya, semasa aduan dibuat, AKSB menghantar bekalan secara alternatif melalui lori air kontrak ke rumah pengadu pada 9 September lalu dengan segera.
“Cuma, ada kalanya sekiranya terdapat permintaan penghantaran air yang tinggi di satu-satu kawasan yang terjejas, maka, penghantaran air melalui lori air kontrak akan mengambil masa yang lebih panjang.
“Sebagai usaha AKSB, empat buah telaga tiub baharu sedang dalam pembinaan di LRA Chicha dan dijangka siap pada akhir tahun ini,” ujarnya.-UTUSAN