Akim tak sorok anak - Utusan Malaysia

Akim tak sorok anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Akim Ahmad, 31 tidak mempunyai masalah berkongsi gambar anak lelakinya yang lahir tiga bulan lalu di media sosial untuk meraikan perkara baik bersama-sama khalayak.

Apatah lagi memegang status sebagai selebriti, Akim akur, setiap inci kehidupan mereka menjadi perhatian peminat selagi tidak melampaui batas.

Malah, kehadiran putera sulung yang lahir 6 Ogos lalu memberikan keceriaan kepada Akim sekeluarga.

“Alhamdulillah, bayi makin sihat dan baru mengambil vaksin pertama, baru-baru ini. Anak lelaki ini rupanya berbeza dengan anak perempuan kerana bagi saya, dia lebih manja.

“Mana tidaknya kalau hendak tidur mesti berdukung, berbanding kakaknya yang sebelum ini tidak perlukan buaian kalau mahu tidur. Sepanjang tiga bulan lalu, memang saya banyak berjaga malam,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Absolut Music Festival di MITEC, semalam.

Memilih Isa sebagai nama anak ketiga mereka, suami kepada penyanyi, Stacy itu selesa dengan nama lebih pendek, ringkas dan mempunyai maksud yang jelas.

“Saya tidak mahu nanti pening untuk tulis nama anak panjang-panjang. Selepas berbincang dengan Stacy, kami putuskan pilih nama yang unik dan saya berharap mudah-mudahan Isa menjadi anak yang soleh,” kongsinya.

Akim antara barisan 18 artis yang akan menjayakan persembahan sempena konsert percuma awal bulan depan di Bandar Malaysia, Sungai Besi.

Selain Akim, kumpulan rock legenda Search, vokalis Alleycats, Datuk David Arumugam, Faizal Tahir, Joe Flizzow, Andi Bernadee, Dolla serta ramai lagi akan melakukan persembahan sepanjang tiga hari penganjuran acara tersebut.

Bertemakan festival dengan konsep terbuka, acara yang mendapat tajaan dari syarikat vape, Elfbar diadakan bertujuan menyemarakkan lagi industri acara yang tampak suram sejak dua tahun kebelakangan ini.

Acara kali ini juga akan memberi peluang rezeki kepada 110 peniaga kecil dan sederhana terdiri daripada industri makanan, minuman, pakaian dan kosmetik untuk menjual barangan mereka.

Festival yang akan bermula dari 4 hingga 6 November ini turut mendapat sokongan Tourism Malaysia dan Cuti-Cuti Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya